Everton permudahkan laluan Liverpool

Everton permudahkan laluan Liverpool

Liverpool: Everton memberikan ‘hadiah’ besar buat jiran setempat, Liverpool selepas berjaya mengikat Arsenal 1-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Goodison Park, sebentar tadi – sekali gus menyukarkan lagi misi skuad Mikel Arteta memburu kejuaraan musim ini.

Arsenal yang menghuni tangga kedua liga kini mengumpul 62 mata selepas 31 perlawanan – 11 mata di belakang pendahulu, Liverpool, yang memiliki kelebihan satu perlawanan apabila bertandang ke Fulham malam ini.

Everton pula melonjak ke tangga ke-14 dengan 35 mata hasil keputusan itu, sekali gus mencipta jurang 15 mata dari zon penyingkiran.

Arsenal mendahului pada minit ke-34 menerusi satu-satunya percubaan tepat mereka dalam separuh masa pertama – berpunca daripada kesilapan hantaran di bahagian tengah yang membolehkan Raheem Sterling meluru ke depan sebelum melorongkan bola kepada Leandro Trossard, yang tenang meledak ke penjuru kanan gawang.

Namun kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Everton dihadiahkan sepakan penalti dua minit selepas babak kedua bermula – Myles Lewis-Skelly mengasari Jack Harrison dalam kotak penalti.

Iliman Ndiaye tidak mensia-siakan peluang apabila menyempurnakan sepakan penalti untuk jaringan kesembilan peribadinya musim ini dalam semua pertandingan – sekali gus ‘meranapkan’ harapan Arsenal yang kini semakin jauh dari kejuaraan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top