FAM perlu dana besar urus Akademi Mokhtar Dahari

FAM perlu dana besar urus Akademi Mokhtar Dahari

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mempunyai perancangan rapi dan menyeluruh sekiranya mahu mengambil alih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) daripada Majlis Sukan Negara (MSN).

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa berkata, pelbagai perkara perlu diperhalusi terutama mengenai dana yang sudah tentu akan menelan belanja yang besar.

Menurut Sadek, ia juga bagi mengelakkan sebarang kemungkinan akademi tersebut yang berpangkalan di Gambang itu gagal dan kemudiannya diserahkan kembali kepada MSN.

“Sekiranya FAM mahu mengambil alih, bagaimana mereka mahu mengeluarkan dana yang besar dalam setahun sekitar RM20 hingga RM30 juta.

“Ia membabitkan tadbir urus sekolah, gaji guru, penyelenggaraan bangunan dan kemudahan sukan yang akan menelan belanja yang tinggi.

“Perkara ini perlu dinilai bersama pihak tersebut iaitu FAM, MSN, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Di sini, jika FAM dah ambil alih, mereka perlukan satu entiti yang sanggup menaja dan tidak membabitkan dana daripada kerajaan,” katanya kepada Sukan Sinar.

Akademi Mokhtar Dahari.

Akademi Mokhtar Dahari.

Menurut Sadek, klausa tertentu juga perlu diperjelaskan agar tidak timbul sebarang masalah pada masa akan datang.

“Tanah mungkin dikurniakan oleh Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, namun bangunan itu dibangun dan diuruskan oleh KBS dan KPM.

“Jadi kena ada klausa kerana FAM akan mengambil harta kerajaan di Gambang tersebut dan perlu ada ketetapan bahawa mereka bukan mengambil alih tetapi menduduki atas ihsan kementerian,” ujarnya.

Sebelum ini, Naib Presiden FAM, Datuk Dollah Salleh menjelaskan FAM sedang dalam fasa perbincangan untuk meletakkan AMD di bawah kelolaan badan induk bola sepak itu.

AMD telah ditubuhkan pada 2014 menerusi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) bertujuan menyediakan latihan berprestasi tinggi dan pendedahan bakat dalam kalangan pelatih.

Akademi itu menyediakan pelbagai kemudahan canggih dan selesa antaranya 10 padang bola sepak, bilik darjah, gimnasium, bilik rawatan dan terapi, kafeteria dan kemudahan asrama.

Scroll to Top