Phnom Penh: Seekor tikus pengesan periuk api di Kemboja melakar sejarah baharu dalam Rekod Dunia Guinness (GWR), lapor BBC.
Ia selepas tikus itu menjadi haiwan pertama menemukan lebih 100 periuk api dan sisa perang yang boleh membawa maut.
Ronin, seekor tikus berkantung gergasi Afrika menemukan 109 periuk api dan 15 item senjata yang tidak meletup sejak 2021, kata badan amal Apopo, yang melatih haiwan itu, dalam satu kenyataan.
Kemboja masih dipenuhi dengan jutaan amunisi yang tidak meletup berikutan perang saudara selama 20 tahun yang berakhir pada 1998.
GWR berkata, kerja penting Ronin membuat perubahan nyata kepada individu yang terpaksa hidup dengan ketakutan terhadap tinggalan periuk api.
Apopo, yang berpangkalan di Tanzania ketika ini mempunyai 104 rekrut tikus, atau HeroRATS.
Tikus dilatih untuk menghidu bahan kimia yang terdapat dalam periuk api dan senjata lain yang ditinggalkan di medan perang.
Oleh kerana saiznya yang kecil, tikus tidak cukup berat untuk meletupkan periuk api.
Tikus boleh memeriksa kawasan sebesar gelanggang tenis dalam masa kira-kira 30 minit berbanding manusia dengan pengesan logam yang mungkin mengambil masa empat hari untuk ‘membersihkan’ tanah dengan keluasan sama.
Kerja mengagumkan Ronin di wilayah Preah Vihear utara Kemboja mengatasi rekod sebelumnya yang dipegang Magawa, seekor tikus yang menghidu 71 periuk api dan dihadiahkan pingat emas kerana menjadi wira pada 2020.
Menurut pemantau periuk api, terdapat kira-kira empat hingga enam juta periuk api dan amunisi lain yang tertimbus dalam tanah di Kemboja.
© New Straits Times Press (M) Bhd




