redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Niat saya hanya hendak berkongsi rezeki dan gembirakan mereka di hari raya kerana kebetulan, giliran saya bertugas tahun ini,” kata juruterbang, Kapten Mohammad Ghazi Mohamed Azri.
Mohammad Ghazi, 37, menarik perhatian warganet selepas berkongsi video memberi duit raya kepada penumpang kanak-kanak sebelum turun daripada pesawat.
Berkongsi kisah itu, Mohammad Ghazi berkata, video berkenaan dirakam pada hari raya ketiga sebaik mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dekat Kota Bharu, Kelantan.
Menyedari ramai penumpang pulang beraya di kampung halaman, Mohammad Ghazi mengambil kesempatan keluar daripada kokpit dan menunggu di depan pintu pesawat untuk mengagihkan sampul berisi duit raya.
“Selalunya anak kapal yang berdiri di depan pintu pesawat untuk menyapa penumpang tapi hari itu, saya ambil tempat mereka kerana sudah niat hendak beri duit raya untuk kanak-kanak.
“Mereka terkejut kerana tak sangka dan ibu bapa kanak-kanak yang terima duit raya pun ucap terima kasih.
“Saya gembira dan bersyukur kerana dapat kongsi rezeki malah sebenarnya, ini julung kali saya beri duit raya kepada penumpang sepanjang 17 tahun bergelar juruterbang,” katanya.
Menurut Mohammad Ghazi, dia berhasrat meneruskan pemberian duit raya itu sehingga akhir Syawal ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd