Usahawan sensasi, Bonda Rozita Ibrahim kekal dengan pendirian untuk tidak mengulas lanjut mengenai kehidupannya termasuklah isu perkahwinan terdahulunya.
Kata Rozita, dia berpegang teguh pada prinsipnya iaitu menyimpan segala kesusahan hidup sendirian tanpa menyusahkan mana-mana pihak termasuklah anak-anaknya.
Tambahnya, orang ramai tidak perlu tahu mengenai kisah kehidupannya sebelum ini.
“Kalau saya ni buruk sangat perangai, saya masih tak sanggup nak cerita keburukan bekas suami saya.
“Sedangkan kehidupan saya ni anak saya sendiri tak tahu apa kesusahan yang saya tanggung. Kalau mereka nak bercerita tentang saya, ceritalah. Mereka tanggung nanti dekat akhirat sana. Jadi kalau anda semua ingat anak saya tahu semua benda, tidak.
“Bagi saya itu adalah prinsip saya. Anak saya sendiri tak perlu tahu. Memang saya kahwin cerai setakat itu sahaja.
“Dan saya berazam nak mati tanpa hisab. Sebab itu saya cuba lawan untuk tidak membuka aib orang yang berada disekeliling saya,” katanya.
Perkara itu dikongsi Rozita menerusi hantaran terkini di Instagram miliknya pada Ahad.
Dalam pada itu, dia juga enggan menjaja hal peribadi di media sosial demi meraih simpati orang ramai kerana bimbang ia menjadi asbab tidak mendapat syurga Allah kelak.
“Saya tak mahu dapat simpati manusia atau orang ramai follow saya. Nanti kalau mati Allah tanya saya.
“Syurga neraka saya berjalan di media sosial. Lebih baik lah saya kalah dengan sanjungan manusia dari saya tidak mendapat syurga Allah,” jelasnya.
Terdahulu, timbul spekulasi bahawa Bonda Rozita telah berkahwin dengan abang kepada aktres Rebecca Nur Al Islam selepas satu sesi siaran langsung di Instagram (IG) menunjukkan dirinya bersama seorang lelaki yang sama.
Bagaimanapun, spekulasi tersebut seakan disahkan sendiri oleh Rebecca apabila dia turut meninggalkan komen di media sosial yang menggelarkan Bonda Rozita sebagai ‘kakak iparku’.
Dan, pada 16 Mac lalu, ibu kepada usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri ini tampil menjawab persoalan warganet apabila berkongsi foto bersama suami baharunya ketika sedang menunaikan ibadah Umrah.