Letupan paip gas Putra Heights: Selangor tampung sewa 617 rumah pemilik, penyewa

Letupan paip gas Putra Heights: Selangor tampung sewa 617 rumah pemilik, penyewa

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Kerajaan negeri bersetuju menampung kos sewa rumah pemilik dan penyewa yang terjejas dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM7.356 juta.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri akan memberikan sebanyak RM2,000 kepada setiap pemilik dan penyewa rumah yang terjejas selama tempoh enam bulan.

“Kerajaan negeri akan berbelanja kira-kira RM7.356 juta untuk menampung kos sewaan yang perlu ditanggung oleh pemilik rumah.

“Bantuan sewaan sebanyak RM2,000 sebulan selama enam bulan kepada setiap keluarga yang terkesan untuk membolehkan mereka menyewa rumah sementara rumah sedang diperbaiki ataupun dibina semula.

“Peruntukan ini dianggarkan sebanyak RM7.356 juta yang meliputi 617 keluarga secara keseluruhannya,” katanya dalam sidang media di Wisma Dewan Annexe di sini, hari ini.

Amirudin menjelaskan, wang RM2,000 yang disumbangkan itu boleh digunakan sama ada mereka menyewa di kediaman yang ditawarkan atau kediaman diperolehi sendiri.

“Dalam minggu hadapan kita akan muktamadkan dan kita akan serahkan bantuan sewa kepada semua ketua isi rumah supaya mereka boleh menggunakan wang itu untuk menyewa sementara.

“Selepas enam bulan sebahagian daripada mereka mungkin sudah pulang ke rumah tetapi mereka yang rumah musnah sepenuhnya mungkin mengambil masa yang sedikit panjang.

“Sebagai contoh 87 kediaman Airbnb akan mula diserahkan pada Rabu dengan keutamaan kepada pemilik yang musnah sepenuhnya jika mereka berminat, tetapi Airbnb percuma dua bulan, kerajaan negeri tanggung sewa selebihnya.

“Jadi mereka semua ada pilihan sama ada Smart Sewa di Kota Warisan, Airbnb serta mencari rumah sewa sendiri yang ditanggung kerajaan negeri selama enam bulan,” katanya.

Beliau turut mengumumkan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Johary Anuar mengetuai fasa pemulihan termasuk keadaan dan kaedah baik pulih kawasan seperti rumah, jalan, infrastruktur dan fasiliti awam.

“Johary yang juga Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri dan akan melihat keseluruhan proses pemulihan.

“Kita sekarang sudah berada dalam fasa pemulihan, jadi proses itu akan meliputi kediaman yang perlu diperbaiki serta kos membaik pulih infrastruktur,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top