Bermotif menguasai sumber tenaga di Laut Gaza

Bermotif menguasai sumber tenaga di Laut Gaza

– Advertisement –

KUALA TERENGGANU: Sebalik siri serangan dan tekanan terhadap rakyat Palestin di Gaza, tersembunyi agenda geopolitik dan ekonomi yang besar, kata Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.

– Advertisement –

Menurut beliau, kuasa-kuasa Barat khususnya Amerika Syarikat mempunyai kepentingan menjadikan Gaza sebagai sasaran utama dalam percaturan global mereka.

Menurut beliau, tujuan utama Imperialisme Barat bukan semata-mata untuk menumpaskan pejuang Palestin, tetapi untuk menguasai sumber gas asli yang terdapat di perairan Gaza.

“Terdapat agenda tersirat di sebaliknya yang lebih besar dan perlu dilihat dengan kerangka yang luas iaitu Timur Tengah Baharu. Donald Trump dan Benjamin Netanyahu berulang kali mengungkapkan istilah ini sebagai satu isyarat.

“Inilah agenda sebenar yang sedang berlangsung iaitu penerusan agenda Imprealisma Barat dan Zionisma yang bermula sejak pra Perang Dunia Pertama dan berterusan sehingga sekarang.

“Tujuan utama Imprealisma Barat adalah menguasai sumber ekonomi dunia melalui penguasaan ke atas sumber petrol dan gas yang terdapat di laut Gaza.

“Serta membuat laluan baharu kepada kapal-kapal perdagangan dunia sebagai alternatif kepada Terusan Suez di Mesir di samping menghapuskan Houthi di Yaman bagi menguasai Bab al-Mandab,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, itulah hakikat di sebalik retorik keamanan dan pembinaan semula Gaza yang sering dicanang oleh Amerika Syarikat dan sekutunya.

“Sebagaimana dijangka, era kedua Presiden Donald Trump akan lebih agresif mendokong Zionis-Israel berbanding sebelumnya. Trump mengisytiharkan akan merubah Gaza kepada pusat pelancongan seperti pantai Riviera di Perancis,” katanya.

Tambah beliau, agenda Zionisme dalam konflik berkenaan juga adalah untuk menguasai seluruh bumi Palestin dan memperluaskan jajahan negara haram Israel ke negara-negara lain di Timur Tengah.

“Trump memberi kata dua kepada HAMAS sama ada menyerah kalah dengan membebaskan tawanan serta menyerahkan tampuk pemerintahan kepada pemerintah baharu atau berdepan dengan serangan dan menghalau keluar rakyat Palestin di Gaza.

“Manakala Zionisme pula habuannya ialah menguasai bumi Palestin secara keseluruhannya dan meluaskan jajahan negara haram Israel ke negara Timur Tengah lain,” katanya.

Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk menyeru umat Islam agar sentiasa peka dan mendoakan agar rancangan jahat tersebut digagalkan.

“Mereka merancang, Allah juga merancang dan Allah adalah sebaik perancang. Semoga Allah menggagalkan perancangan mereka dan memberi balasan setimpal di atas kezaliman yang dilakukan ke atas umat Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Scroll to Top