Perak bangkit jinakkan KL City di Cheras

Perak bangkit jinakkan KL City di Cheras
Perak bangkit jinakkan KL City di Cheras

Nur Azfar Fikri meledak jaringan kemenangan buat Perak di Cheras. Foto: Perak FC

PERAK FC bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan Kuala Lumpur City FC, 2-1 dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Ahad.

Kuala Lumpur kendalian Miroslav Kuljanac, yang masih segar dengan kemenangan 3-2 ke atas Kedah Darul Aman FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 7 Mac lalu, bermula garang.

Hasilnya, The City Boys terlebih dahulu memimpin permainan pada separuh masa pertama menerusi sentuhan Paulo Josué yang menyudahkan hantaran K. Partiban bagi menewaskan Muhammad Haziq Nadzli pada minit ke-31.

Memasuki separuh masa kedua, Perak bimbingan Yusri Che Lah — yang kali terakhir meraih kemenangan pada 26 Januari lalu selepas menewaskan Kelantan Darul Naim FC 7-0 di Manjung — tampil lebih kemas.

Hasilnya, kapten Bos Gaurus, Luciano Guaycochea yang menggerakkan nadi pasukan akhirnya dihadiahkan sepakan penalti selepas Declan Lambert dikesan melakukan kekasaran terhadap Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar.

Guaycochea yang diberikan tanggungjawab mengambil sepakan itu tidak berdepan masalah menewaskan Muhammad Azri Ghani untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-77.

Gol penyamaan Guaycochea ternyata menyuntik motivasi dalam kalangan pemain Bos Gaurus yang terus meningkatkan tekanan ke atas The City Boys.

Kerja keras itu akhirnya membuahkan hasil apabila rembatan Nur Azfar Fikri Azhar pada minit ke-81 kembali mengamatkan venue yang dipenuhi 1,221 penonton, sekali gus membolehkan Perak membawa pulang tiga mata berharga dari Cheras ke Ipoh.

Tiga mata itu membolehkan Perak mengumpul 27 mata dan kekal di tangga ketujuh, manakala Kuala Lumpur yang berada di tangga keenam kekal dengan 28 mata selepas masing-masing mengharungi 22 perlawanan.

Scroll to Top