Fulham ranap impian awal Liverpool julang EPL

Fulham ranap impian awal Liverpool julang EPL

FULLHAM menangguhkan pesta kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) Liverpool selepas menewaskan pendahulu itu 3-2 di Stadium Craven Cottage pada Ahad.

Malah, Fulham bimbingan Marco Silva memanfaatkan kelemahan pertahanan Liverpool untuk menghidupkan peluang The Cottagers ke pentas Eropah musim depan.

Alexis Mac Allister terlebih dahulu memberikan pendahuluan awal kepada anak buah Arne Slot pada minit ke-14, namun selepas itu, Liverpool mula dibolosi tiga gol mudah dalam tempoh 14 minit.

Ryan Sessegnon menyamakan kedudukan hasil voli selepas kegagalan Curtis Jones mengeluarkan hantaran lintang pada minit ke-23, sebelum kesilapan berturut-turut Andy Robertson membolehkan Alex Iwobi melebarkan jaringan pada minit ke-32.

Rodrigo Muniz melengkapkan kebangkitan Fulham, dengan memperdayakan Virgil van Dijk sebelum menewaskan Caoimhin Kelleher pada minit ke-37.

Conor Bradley kemudian memberikan harapan kepada Liverpool apabila sentuhannya membolehkan pemain gantian Luis Díaz menjaringkan gol pada minit ke-72 untuk mengurangkan defisit.

Selepas perlawanan, Slot menafikan pemainnya bersikap sambil lewa dalam permainan yang penuh dengan kesilapan dilakukan The Reds.

Katanya, kesilapan pada separuh masa pertama merupakan punca utama kekalahan Liverpool sambil menambah pasukan pelawat mencipta deretan peluang pada separuh masa kedua untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata dari Craven Cottage.

Malah, pengendali dari Belanda itu menyangkal dakwaan bahawa The Reds mula berasa selesa dengan kelebihan 11 mata di puncak liga.

“Saya rasa tiada sebab untuk kami berasa selesa… kami bukan berada di tangga pertama pada ketika ini disebabkan menang setiap perlawanan dengan margin tiga atau empat gol.

“Saya rasa sesiapa yang menonton perlawanan Liverpool tahu, ia memerlukan usaha yang sangat besar, kerja keras, digabungkan dengan kualiti, untuk memenangi perlawanan bola sepak.

“Pasukan yang memenangi liga empat musim lalu (Manchester City), hampir setiap perlawanan mereka sudah mendahului 3-0 pada separuh masa pertama dan itu bukan cara kami,” katanya.

Keputusan itu bagaimanapun mengekalkan Liverpool di puncak liga dengan 73 mata daripada 31 perlawanan, 11 mata di depan sensasi London, Arsenal.

Sebagai rekod, The Reds memerlukan 11 mata daripada baki tujuh perlawanan untuk memenangi gelaran juara.

Sementara itu, Fulham naik ke tangga kelapan dengan 48 mata, tiga mata di belakang Manchester City di tangga kelima — kedudukan yang mungkin cukup untuk menjamin tempat di Liga Juara-Juara musim depan.

Scroll to Top