hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tindakan penjaja warga asing menjadikan kaki lima lorong berhampiran Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini, membawa padah apabila diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), hari ini.
Serbuan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dilakukan kira-kira jam 11 pagi selepas melakukan pemantauan.
Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, pihaknya menahan enam pendatang asing tanpa izin (Pati) berusia 21 hingga 50 tahun selepas memeriksa 50 individu di kawasan berkenaan.
Menurutnya, semua yang ditahan adalah lelaki yang terdiri daripada lima warga Bangladesh dan seorang warga Myanmar.
“Antara kesalahan yang dilakukan termasuk tinggal lebih masa dan tiada dokumen pengenalan atau pasport.
“Selain itu, pihak DBKL juga turut membuat sitaan barangan perniagaan warga asing termasuk dua lori yang digunakan mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Wan Mohammed Saupee berkata, ketika serbuan dilakukan ada segelintir warga asing terbabit cuba melarikan diri.
“Bagaimanapun, tindakan itu sia-sia kerana lorong di belakang kedai sudah dikepung dan mereka tidak boleh meloloskan diri. Operasi ini dilakukan secara mengejut selepas kawasan ini viral di media sosial,” katanya.
Katanya, semua individu yang ditahan dibawa ke pejabat JIM Kuala Lumpur untuk proses dokumentasi sebelum tindakan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




