'Selamat Pulang Wira kami' – Komuniti Myanmar

'Selamat Pulang Wira kami' – Komuniti Myanmar

Kuala Lumpur: Komuniti Myanmar di Malaysia berkumpul bagi mengucapkan terima kasih kepada Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) berikutan misi bantuan gempa bumi berbahaya pasukan itu di Myanmar, semalam.

Dalam satu kenyataan oleh Gabungan Etnik Burma Malaysia (Cobem), puluhan wakil etnik minoriti Myanmar berkumpul di ibu pejabat SMART di Subang untuk memberi penghormatan kepada pasukan itu sekembalinya mereka dari Myanmar yang dilanda gempa bumi.

Komuniti itu menghadiahkan bunga dan selendang tradisional sebagai tanda penghargaan atas keberanian dan pengorbanan pasukan terbabit.

Mereka juga mengibarkan sepanduk tertera perkataan, “Selamat pulang, wira kami – Pasukan SMART! Terima kasih kerana membantu rakyat kami” di pintu masuk ibu pejabat SMART.

Pasukan Malaysia berlepas ke Nay Pyi Taw, Myanmar pada 30 Mac lalu, dua hari selepas gempa bumi dahsyat melanda bagi menjalankan misi bantuan kemanusiaan dan menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) untuk mangsa gempa bumi.

Mengharungi gegaran susulan, serangan udara tentera dan ancaman periuk api, pasukan Malaysia menjalankan operasi SAR di tengah-tengah infrastruktur yang runtuh dan sumber yang terhad.

Misi mereka berjaya menemukan tujuh mangsa, termasuk seorang yang terselamat di bawah runtuhan.

“Tiada kata yang dapat meluahkan betapa bersyukurnya kami kepada pasukan SMART kerana bertindak pantas menangani bencana ini.

“Lebih menyentuh hati kerana mereka sanggup mengorbankan sambutan Hari Raya untuk misi ini,” kata James La Seng yang mewakili Cobem menyampaikan hadiah daripada komuniti itu.

Beliau menjelaskan ramai pelarian Myanmar di Malaysia tidak dapat pulang ke tanah air untuk membantu misi menyelamat atas sebab keselamatan.

James juga memuji kerajaan Malaysia atas komitmen RM10 juta (US$2.3 juta) bantuan kemanusiaan untuk Myanmar, menyatakan ia mencerminkan perpaduan serantau sebenar.

“Gerakan ihsan ini, terutamanya di bawah kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi Asean 2025, menunjukkan kepimpinan kemanusiaan sejati.

“Kami harap semua negara Asean lain mengikut jejak Malaysia mengutamakan nilai kemanusiaan melebihi segalanya,” katanya.

COBEM dan individu Myanmar di Malaysia mengumpul lebih RM90,000 untuk menyokong usaha bantuan melalui badan bukan kerajaan yang bekerja terus di kawasan terjejas.

Menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), lebih 171,000 pelarian dan pencari suaka Myanmar berdaftar di Malaysia, kebanyakannya melarikan diri selepas rampasan kuasa tentera 2021 yang memburukkan lagi perang saudara di negara itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top