Pelakon, Sharnaaz Ahmad mengakui sambutan raya pada tahun ini penuh perasaan hiba selepas pemergian ayahanda tercinta, Datuk Basir Ahmad 27 November tahun lalu.
Ketika ditemui XTRA, Sharnaaz berkata hatinya seolah-olah sudah ‘mati’ dan membeku tiada rasa untuk menyambut lebaran.
“Tahun ini saya memang tak sambut raya. Saya langsung tak fikir tentang Ramadan, apatah lagi Syawal. Raya kali ini benar-benar tiada rasa. Saya bangun dalam keadaan blur, hanya pergi solat raya.
“Saya cuma mahu hari itu cepat berlalu. Tapi entah kenapa, rasa macam masa sangat perlahan. Bila semuanya selesai, baru saya rasa lega. Jiwa saya beku, tak rasa apa-apa,” ujarnya jujur.
Berkongsi lebih lanjut, pelakon filem The Original Gangsters ini berkata tepat 40 hari pemergian bapanya, jiwa Sharnaaz rapuh dan menangis sepuas-puasnya.
“Waktu genap 40 hari arwah ayah pergi, itu hari paling saya tak mampu kawal perasaan. Saya benar-benar hilang. Walau cuba elak untuk fikir, tapi badan saya menggigil, sejuk, dan saya menangis tanpa henti,” katanya sebak.
Sharnaaz berkata demikian ketika ditemui di malam tayangan perdana filem Blood Brothers yang berlangusng di IOI Putrajaya, pada Isnin.
Sebagai tanda kenangan dan kekuatan jiwa, Sharnaaz turut mengenakan jam tangan milik arwah ayahnya buat kali pertama sejak disimpan rapi selepas pemergian insan tersayang itu.
“Hari ini saya pakai jam tangan arwah ayah. Ini kali pertama saya buka daripada balutan tisu sejak di hospital. Saya percaya arwah sentiasa bersama saya, memberi kekuatan,” katanya penuh emosi.
Filem Blood Brothers: Bara Naga bukan sahaja menampilkan lakonan mantap Sharnaaz, malah turut dibintangi barisan pelakon berkaliber seperti Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Amelia Henderson, Syazwan Zulkifly, Andy Teh, Irfan Zaini, Wan Hanafi Su, Zamarul Hisham, Ray Dap Dap dan ramai lagi.
Menariknya, filem ini turut menerima permintaan tinggi daripada peminat sehingga tayangannya dimulakan lebih awal iaitu pada hari ini, 8 April, di seluruh pawagam tanah air.
Artikel Berkaitan: Sharnaaz Ahmad Sebak, Pertama Kali Beraya Tanpa Arwah Ayah – “Tahun Pertama Adalah Tahun Paling Sukar”




