Terkenal dengan karya yang sering menjadi siulan ramai, kumpulan muzik popular Insomniacks terus mengukuhkan kedudukan mereka dalam industri muzik tempatan.
Cukup digemari dalam kalangan generasi Z, kumpulan ini yang dianggotai oleh Iqie (vokalis utama), Iskandar (bes), dan Dan (gitar), sekali lagi mencuri perhatian menerusi pelancaran EP Inggeris sulung mereka berjudul, ‘Awake & Dreaming’.
Menurut Iqie, impian untuk menghasilkan koleksi lagu dalam bahasa Inggeris sudah lama dipendam sejak penubuhan kumpulan tersebut.
Malah, projek ini membuka ruang kepada sisi baru Insomniacks selain memperlihatkan kematangan mereka dalam berkarya.
“Kami memang lama berhajat untuk tampilkan lagu-lagu Inggeris. Kami percaya, peminat muzik kami di Malaysia juga ingin melihat sisi berbeza daripada kami.
“Proses penulisan sangat menyeronokkan dan menyegarkan kerana ia sepenuhnya dalam bahasa Inggeris. EP ini mengumpulkan idea serta pengalaman zaman remaja kami teamsuklah merungkai pelbagai emosi dan pelajaran ketika meniti alam dewasa. Kami harap ia mampu menyentuh hati pendengar,” jelas Iqie.
Secara keseluruhan, ‘Awake & Dreaming’ menyentuh tema kesihatan mental dan menyuarakan empati terhadap mereka yang berdepan dengan cabaran.
Menurut Dan pula, EP ini menggambarkan pengalaman sebenar Insomniacks yang pernah bergelut dengan insomnia, sehingga menjejaskan keupayaan mereka membezakan antara realiti dan mimpi.
“Lagu Awake & Dreaming diinspirasikan daripada pengalaman individu yang terperangkap dalam kesunyian malam atau tekanan siang hari akibat insomnia.
“Walaupun lagu ini ditulis hampir sedekad lalu, emosi dan kisahnya masih relevan. Tahun ini kami berpeluang memberi nafas baharu dengan suntikan elemen moden dan nostalgia. Ini adalah perjalanan kembali ke titik permulaan kami sebagai pemuzik, disokong oleh peminat sejak awal,” katanya.
Selain itu, dengan pelancaran EP ini, Iskandar percaya ia membuka lebih banyak peluang untuk Insomniacks, termasuk mengadakan konsert solo mereka sendiri.
“Kami kini ada gabungan lagu Melayu dan Inggeris. Lagu-lagu hit seperti Pulang, Reminisensi, dan Sempurna masih kukuh di carta seperti RIM’s Top 10 Lagu Domestik Paling Strim di Malaysia. Kini, kami tampilkan pula sisi lebih versatil melalui karya Inggeris kami.
“Harapan kami agar peminat akan terus terhibur dan merasai emosi serta getaran daripada Awake & Dreaming,” jelasnya.
Dihasilkan dalam genre pop rock, EP ini memuatkan lima buah lagu iaitu:
- Anti-hero
- Awake & Dreaming
- Overdrive (feat. KillaDriz)
- Some Days Are Just Better
- Why Don’t You Cry
Projek ini diterbitkan sepenuhnya oleh Iqie, Dan, dan Iskandar dengan kerjasama JOEK selaku penerbit dan Joseph Chua sebagai penyusun muzik.