Lelaki hilang sejak 4 hari belum ditemui

Lelaki hilang sejak 4 hari belum ditemui

rnoraina@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Lelaki yang dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat di kawasan Stesen MRT Damansara Damai di sini, pada Sabtu lalu, belum ditemui.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintendan M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, laporan kehilangan lelaki berusia 44 tahun itu dibuat pada 10.11 malam.

Beliau berkata, Voon Chuan Ling dilihat kali terakhir berada di kawasan MRT Damansara Damai kira-kira 5.15 petang hari sama.

“Setakat ini, lelaki itu belum ditemui dan tindakan mengesannya masih diteruskan.

“Polis sudah mengambil keterangan ahli keluarganya untuk membantu siasatan.

“Kehilangannya itu dikatakan kali pertama berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, lelaki itu mempunyai ciri fizikal seperti ketinggian 173 sentimeter, berkulit cerah, rambut lebat dan pendek serta mempunyai bibir nipis.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki terbabit untuk tampil menyalurkannya dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top