Penerbit dan pengarah tersohor, Datuk Yusof Haslam berkongsi perkembangan terkini anaknya, pengarah dan pelakon, Syamsul Yusof yang dikatakan semakin ceria meskipun berdepan dengan pelbagai ujian terutamanya konflik rumah tangga.
Ketika ditemui XTRA, Yusof menyifatkan anaknya itu semakin fokus, komited dan lebih bersemangat dalam pembikinan dua filem akan datang pada tahun ini.
“Saya nampak dia (Syamsul) sekarang lebih fokus. Setiap manusia ada cabaran dan halangan, konflik rumah tangga dan sebagainya. Bayangkan cerita The Original Gangster dia buat lebih empat bulan lebih awal sebelum mulakan penggambaran filem Sheriff sedangkan adik dia, Syafiq dah buat tiga filem.
“Saya tahu kekangan dan masalah yang dihadapi kemelut rumah tangga, keluarga.. Jadi saya rasa itu adalah pengorbanan bagi dia sebab kalau kita kaji sepanjang dia buat filem dibawah Skop Productions, tiada masalah, semuanya ikut masa.
“Saya doakan yang terbaik, saya tengok dia semakin bersemangat, muka pun dah ceria tapi kurus sikit,” katanya.
Yusof berkata demikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Blood Brothers arahan pengarah, Syafiq Yusof di IOI City Mall, Putrajaya pada Isnin.
‘Hidup Tak Ada Makna Tanpa Pasangan’
Dalam pada itu, Yusof turut bercerita antara nasihat yang disampaikan kepada pengarah filem seram popular Munafik ini untuk mencari pasangan kerana hidup tiada makna jika berseorangan.
“Saya kata kepada dia ‘Syamsul, apa pun yang jadi terus kuat semangat, bina hidup baru.. jangan hidup seorang diri’. Mesti kena ada pasangan kalau tak hidup tak ada makna, kita akan bosan. Kalau banyak duit pun hidup seorang. Kehidupan itu mahukan ketenangan dengan kelaurga dan isteri. Tapi buat masa sekarang ni dia kata nak beri tumpuan kepada dua filem akan datang.
“Saya tak rasa dia serik nak berkahwin, sebagai orang tua saya mendoakan supaya dia mendapat jodoh yang baik. Barangkali kalau Allah dah tentukan, mereka (Syamsul dan Puteri Sarah), mungkin masing-masing dapat pasangan lain.. kita doakan yang terbaik. Saya tak boleh mendesak, itu mungkin harapan kita tapi segalanya ketentuan Allah,” ujarnya.
Lebaran Tahun Ini Lebih Bermakna
Berkongsi mengenai sambutan Syawalnya pada tahun ini, Yusof meluahkan rasa syukur apabila semua anak-anak, menantu dan cucu berkumpul pada hari lebaran.
“Saya bersyukur, sambutan raya tahun ini Alhamdulillah. Syamsul balik ke rumah dan dia pun ikut kami pergi makan angin di luar negara. Sarah pun ada balik beraya, dan dia bersama Syamsul Insya-Allah mereka akan jadi sahabat. Saya bersama besan (ibu bapa Sarah) pun masih baik, tiada masalah,” katanya.




