Guru rugi lebih RM270,000 terpedaya individu menyamar polis

Guru rugi lebih RM270,000 terpedaya individu menyamar polis

am@hmetro.com

Kuantan: Seorang guru wanita berusia 31 tahun kerugian RM270,120 selepas terpedaya individu yang menyamar wakil syarikat penghantaran barang dan polis.

Ketua Polis Pahang , Datuk Seri Yahaya Othman, berkata berdasarkan laporan semalam, mangsa menerima panggilan daripada suspek yang memaklumkan terdapat bungkusan yang dihantar atas nama mangsa pada Julai 2024.

Katanya, bungkusan terbabit dikatakan mengandungi tiga kad pengenalan dan tujuh kad mesin juruwang automatik (ATM).

“Mangsa menafikan perkara berkenaan sebelum panggilan disambungkan kepada polis.

“Mangsa kemudian diarahkan untuk memohon pinjaman peribadi daripada beberapa bank untuk membantu siasatan.

“Semua wang pinjaman itu diarahkan serah kepada Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) dan melapor diri setiap hari sepanjang siasatan dijalankan.

“Bermula tarikh 29 Julai 2024 sehingga 9 Mac lalu, mangsa membuat pembayaran sebanyak 18 kali transaksi kepada 16 akaun bank berbeza yang keseluruhannya berjumlah RM270,120.

“Pada 7 April lalu, mangsa menghubungi polis untuk membuat pengesahan sebelum dimaklumkan ditipu dan dinasihatkan untuk membuat laporan polis.

“Sumber kewangan adalah daripada simpanan, pinjaman peribadi dan ahli keluarga. Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top