Tunku Temenggong Kedah santuni mangsa kebakaran Putra Heights

Tunku Temenggong Kedah santuni mangsa kebakaran Putra Heights

am@hmetro.com.my

Subang Jaya: Tunku Temenggong Kedah, Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, berkenan berangkat menyantuni mangsa kejadian kebakaran paip gas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda yang juga Pengerusi Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) pada jam 10.48 pagi disambut isteri Menteri Besar Selangor, Datin Seri Masdiana Muhamad, dan Naib Pengerusi Kebangsaan BSMM, Dato’ Seri Suhaimi Yacob.

Tunku Puteri Intan Safinaz meluangkan masa lebih satu jam menyantuni serta mengurniakan sumbangan pek makanan kepada seramai 379 mangsa daripada 97 keluarga yang berlindung di PPS berkenaan.

Sementara itu, Setiausaha Agung BSMM, Datuk Danial Iskandar Abdul Rahman, berkata lawatan baginda menggambarkan komitmen BSMM untuk sentiasa bersama masyarakat yang terkesan akibat bencana, bukan sahaja dengan bantuan kemanusiaan tetapi juga sokongan berterusan sepanjang proses pemulihan.

Menurutnya, sebaik insiden itu berlaku, BSMM segera menggerakkan pasukan tindak balas kecemasan dengan menggerakkan lebih 30 sukarelawan terlatih dari Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Sukarelawan ini adalah antara yang pertama tiba di lokasi kejadian untuk memberikan pertolongan cemas kepada mangsa melecur serta membantu pemindahan mereka yang cedera ke hospital berdekatan.

“Kehadiran mereka turut meliputi tiga pusat pemindahan iaitu Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights, Dewan Camellia Putra Heights dan Kuil Sri Mahamariamman, di mana mereka membantu menguruskan operasi pusat pemindahan dan menyokong keluarga yang kehilangan tempat tinggal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, BSMM turut mengagihkan barangan bantuan asas termasuk pek makanan, kit kebersihan diri termasuk tikar dan selimut kepada mangsa terjejas.

“Selain itu, BSMM juga menjalankan pemeriksaan kesihatan asas kepada golongan rentan, terutamanya warga emas dan kanak-kanak, manakala bantuan sokongan psikososial disediakan kepada individu yang mengalami tekanan emosi.

“Inisiatif ini dilaksanakan di bawah usahasama pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta beberapa organisasi komuniti tempatan.

“Pendekatan pelbagai agensi ini memastikan tindak balas yang lebih tersusun dan berkesan bagi memenuhi pelbagai keperluan komuniti yang terjejas,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top