Rosakkan alat EMD, alasan nak jumpa ibu!

Rosakkan alat EMD, alasan nak jumpa ibu!

am@hmetro.com.my

Seremban: Seorang lelaki dituduh di Mahkamah Majistret, di sini, tadi, atas dua pertuduhan masing-masing merosakkan peranti pemantauan elektronik (EMD) dipakainya dan melanggar syarat perintah sekatan dengan meninggalkan Mukim Setul tanpa kebenaran.

Tertuduh, Mohd Amirul Afizam Mat, 38, mengaku bersalah terhadap kedua-dua tuduhan selepas ia dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati merosakkan dan menghilangkan EMD yang dipakainya mengikut Seksyen 15 Akta Pencegahan Jenayah 1959 yang dikenakan terhadap tertuduh dari 21 Januari 2022 sehingga 2 Oktober 2024.

Bagi satu lagi pertuduhan, tertuduh melanggar syarat perintah sekatan yang dikenakan kepadanya mengikut akta sama bagi tempoh sama dengan meninggalkan Mukim Setul tanpa kebenaran.

Kesalahan dilakukan di sebuah kedai basuh kereta di Taman Permai, di sini, kira-kira jam 10 malam 27 Julai 2024.

Justeru, bagi kesalahan melakukan kerosakan EMD, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 15A (6) Akta Pencegahan Jenayah 1959 yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun.

Bagi kesalahan meninggalkan daerah, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 15(4) akta sama iaitu penjara maksimum lima tahun dan tidak kurang dua tahun.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi memohon satu tarikh lain bagi sebutan fakta dan hukuman bagi kesalahan merosakkan EMD sebelum mahkamah menetapkan tarikh 21 Mei depan serta tiada jaminan ditawarkan.

Bagi kesalahan meninggalkan daerah, TPR Nadia Ezzati Mohd Zainal memohon hukuman setimpal.

Tertuduh yang diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Syed Fadil Syed Othman merayu hukuman penjara paling minimum dari tarikh ditangkap.

Mahkamah kemudiannya mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama dua tahun bermula dari tarikh tangkapan.

Mengikut fakta kes, tertuduh didapati merosakkan dan menghilangkan EMD serta meninggalkan Mukim Setul dengan alasan mahu berjumpa dengan ibunya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top