Ibu kandung dera anak guna gunting ditahan

Ibu kandung dera anak guna gunting ditahan

am@hmetro.com.my

Kangar: Polis memberkas seorang wanita bagi membantu siasatan kes dera seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun menggunakan gunting di sebuah rumah, di sini, pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kangar Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, suspek berusia 33 tahun ditahan berhampiran jejambat Titi Kerbau, Jalan Changlun-Kuala Perlis di Changlun, Kedah kira-kira jam 1.30 pagi semalam.

Menurutnya, terdahulu polis menjalankan gerakan mengesan suspek dipercayai ibu kandung mangsa selepas laporan polis dibuat guru besar sebuah sekolah rendah di Jitra di mana mangsa bersekolah.

“Pada Selasa lalu, kita menerima satu laporan polis daripada guru besar terbabit menyatakan anak muridnya didakwa didera oleh ibu kandungnya.

“Kejadian hanya diketahui guru besar berkenaan kerana mendapati mangsa lewat hadir ke sekolah dan laporan pemeriksaan doktor mendapati terdapat kesan luka di belakang badan, leher, kaki dan tangan mangsa akibat digigit dan dicucuk dipercayai menggunakan gunting.

“Ekoran laporan polis, mangsa ditahan di wad Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, bagi mendapatkan rawatan susulan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pihaknya kemudian mengesan suspek sebelum berjaya dijejaki ketika pergi beraya di rumah kenalannya.

Katanya, polis merampas sebuah telefon Iphone 12 warna merah bersama sekeping sim kad dan sebilah gunting berwarna kuning dipercayai digunakan semasa kejadian.

“Suspek direman empat hari bermula semalam sehingga 11 April ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Setakat ini, pihak polis masih menyiasat motif penderaan yang dilakukan oleh suspek,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil menghubungi Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kangar di talian 04-9082340 bagi membantu siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top