Apa tujuan sebenar di sebalik ‘perang’ tarif timbal balik Amerika Syarikat?

Apa tujuan sebenar di sebalik ‘perang’ tarif timbal balik Amerika Syarikat?

– Advertisement –

KETIKA ini Amerika Syarikat sedang melancarkan ‘perang ekonomi’ di seluruh dunia dengan mengenakan ‘tarif timbal balik’ antara 20 peratus hingga 50 peratus ke atas lebih kurang 90 buah negara yang berdagang dengannya berkuatkuasa hari ini dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengelarkannya sebagai ‘Liberation Day’ ataupun hari pembebasan ekonomi Amerika Syarikat.

Alasan utama Donald Trump menguatkuasakannya adalah kerana negara-negara yang berdagang dengan Amerika Syarikat telah mengambil kesempatan dan memanipulasi perdagangan dengan Amerika Syarikat sehingga menyebabkan berlaku ketidakadilan ekonomi terhadap Amerika Syarikat serta ‘mencuri’ perniagaan dan perusahaan Amerika Syarikat dengan memindahkannya ke negara lain.

Sebelum itu, Amerika Syarikat pada 5 April telah menguatkuasakan tarif asas ‘unilateral’ sebanyak 10 peratus ke atas semua import dari seluruh dunia dengan 57 buah negara dikenakan levi import yang lebih tinggi dari sebelumnya. Ini telah menyebabkan keadaan ekonomi di seluruh dunia menjadi ‘kucar-kacir’ dan panik.

– Advertisement –

Antara negara-negara yang dijangka menerima kesan daripada tarif timbal balik ini yang juga antara rakan dagang utama Amerika Syarikat adalah seperti negara-negara utama Kesatuan Eropah, Britain, Kanada, Mexico, Jepun, China, India, Taiwan, Korea Selatan dan Vietnam. Malaysia juga tidak terkecuali dengan dikenakan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus. Sebelum itu, import dari China awal-awal lagi telah dikenakan tarif tambahan sebanyak 20 peratus menjadikan jumlah keseluruhan tarif yang dikenakan ke atas China sebanyak 54 peratus.

Kekalutan ini mengakibatkan kebanyakkan negara-negara di dunia ketika ini sedang berusaha untuk berunding dengan Amerika Syarikat untuk mengelak daripada dikenakan tarif timbal balik yang tinggi namun tidak bagi China. China bertindak balas dengan mengenakan 34 peratus peratus tarif timbal balik ke atas semua import dari Amerika Syarikat bermula 10 April termasuk mengenakan sekatan eksport ke atas 7 galian ‘rare earth’ yang majoritinya digunakan untuk semi konduktor dan peralatan ketenteraan berteknologi tinggi ke Amerika Syarikat. Sebelum pada itu, China turut mengenakan tarif sebanyak 15 peratus ke atas import arang batu dan LNG dari Amerika Syarikat sebagai tindakbalas terhadap tarif asas ‘universal’ sebanyak 10 peratus yang dikenakan ke atas semua import dari China ke Amerika Syarikat. China juga turut mengisytiharkan akan melawan habis-habisan hingga ke akhir tarif timbal balik tidak adil yang dikenakan terhadapnya.

Tindak balas dari China menimbulkan kejutan kepada Donald Trump dengan beliau memberi amaran kepada China agar membatalkan tarif timbal balik yang dikenakan ke atas Amerika Syarikat selewat-lewatnya semalam atau berhadapan dengan risiko dikenakan tarif tambahan sebanyak 50 peratus menjadikan jumlah keseluruhan tarif yang dikenakan ke atas China sebanyak 104 peratus bermula hari ini. China tidak mengendahkan amaran tersebut, hari ini sah China satu-satunya negara di dunia yang dikenakan tarif timbal balik oleh Amerika Syarikat melebihi 100 peratus!.

‘Kekalutan’ perang ekonomi yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat turut menyebabkan bursa saham di seluruh dunia 2-3 hari ini jatuh meredum antara 4-10 peratus dari nilai semasa mengakibatkan kerugian berbillion dollar. Bursa S&P 500 Amerika Syarikat sejak diumumkan akan dikuatkuasa  tarif timbal balik pada Rabu minggu lalu telah mengalami kejatuhan lebih daripada 10 peratus yang mengakibatkan kerugian lebih daripada 5 trillion dollar. Hakikatnya ‘badai’ kegawatan dan kemelesetan ekonomi bakal melanda dunia pada bila-bila masa sahaja ketika ini.

Namun jika dilihat dengan ‘mata kasar’, kita mungkin percaya kata-kata Donald Trump yang mahu menguatkan kembali kekuatan ekonomi Amerika Syarikat dan menjadikan Amerika Syarikat ‘kaya’ dengan mengenakan tarif timbal balik ke atas negara-negara di dunia.

Hakikatnya ada agenda tersirat di sebaliknya sehingga memaksa dilaksanakan tarif timbal balik atau ‘perang ekonomi’ yang dilancarkan Amerika Syarikat ke atas seluruh dunia ketika ini.

Antara tujuan utamanya adalah untuk menyekat China yang pada bila-bila masa sahaja mampu memintas Amerika Syarikat menjadi kuasa besar utama dunia baik dari segi ekonomi mahupun ketenteraan. China ketika ini sudah menjadi tonggak utama sektor perusahaan dunia dengan majoriti pengeluarkan sektor perusahaan dikuasai China antaranya kenderaan elektrik, teknologi solar, perkilangan dan lain-lain lagi. Amerika Syarikat pula hakikatnya telah hilang kompetitif dari sudut ekonomi, dari beberapa aspek telah ketinggalan dari sudut teknologi, inovasi dan pengeluaran mahupun dengan negara-negara membangun.

BRICS yang dipelopori China turut menjadi ancaman utama kepada dominasi dollar Amerika Syarikat dalam transaksi perdagangan dunia dan sektor perbankan dunia yang dikuasai Amerika Syarikat. Untuk tahun 2024, 5 negara anggota asal BRICS menguasai 33.76 peratus KDNK dunia berbanding negara G7 yang diterajui Amerika Syarikat yang hanya menguasai 29.08 peratus KDNK dunia. Dengan tambahan 4 lagi anggota BRICS dan beberapa negara lagi yang menjadi rakan dagang BRICS, sudah tentu G7 bakal jauh tertinggal di belakang. Dengan BRICS yang lebih mengutamakan penggunaan matawang negara anggota dalam penyelesaian perdagangan dan penubuhan New Development Bank (NDB) oleh negara anggota BRICS yang bertindak sebagai bank utama BRICS, ancaman China secara keseluruhan untuk menguasai ekonomi dunia jelas kelihatan dan menjadi ancaman kepada hegemoni ekonomi Amerika Syarikat ke atas seluruh dunia yang kini hampir pupus.

Dari sudut ketenteraan pula, China berkemungkinan hanya memerlukan masa 3-4 tahun sahaja lagi untuk ‘berdiri sama gagah’ dengan Amerika Syarikat namun dari beberapa sudut, China telah mengatasi Amerika Syarikat. Sebagai contoh, China mempunyai armada kapal paling besar di dunia sebanyak 405 buah kapal perang berbanding Amerika Syarikat yang hanya mempunyai 232 buah kapal perang. China ketika ini sedang melakukan ujian ke atas pesawat pejuang terbaharu generasi ke 6 termasuk mempunyai kumpulan peluru berpandu balistik hipersonik yang canggih berbanding Amerika Syarikat yang acapkali menemui kegagalan ketika menjalankan ujian ke atas peluru berpandu balistik hipersonik Minuteman II. China juga turut membina kapal pengangkut pesawat generasi terbaharu Fujian, dalam erti kata lain teknologi ketenteraan China sudah setara dengan Amerika Syarikat.

Oleh itu, China perlu disekat dan dihalang daripada menjadi kuasa besar utama dunia apatah lagi hubungan China dan Rusia yang semakin akrab, China dan Rusia perlu dipisahkan dan gagasan BRICS perlu dileraikan. Jika dilihat secara teliti, kebanyakkan negara yang dikenakan tarif timbal balik yang tinggi adalah negara yang mempunyai hubungan dagang yang aktif dengan China, negara yang menjadi hub perdagangan China mahupun negara anggota BRICS. Disebabkan itu, tidak hairanlah ketika ini majoriti anggota pentadbiran Donald Trump mahupun ahli politik Amerika Syarikat termasuk dari parti Demokrat berkumandang melaungkan nada keras yang sama ‘China Must Be Stopped!’.

DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 10/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Scroll to Top