am@hmetro.com.my
Melaka: Pembantu operasi didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM15,000 sebagai ‘upah’ memperakui perakuan siap kerja pembaikan di sebuah institusi pengajian tinggi di negeri ini, tiga tahun lalu.
Mohd Rizuan Muhamad, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dibacakan dan diterangkan semua pertuduhan berkenaan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut pertuduhan, Mohd Rizuan sebagai Pembantu Operasi N11 yang memangku tugas Pembantu Kemahiran H19 di Kolej Matrikulasi Melaka (ketika kejadian) didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri berjumlah RM10,000 daripada seorang lelaki berusia 43 tahun di sekitar kawasan Kampung Padang, Pokok Mangga, dekat sini, 14 Ogos 2022.
Ia sebagai dorongan untuk memperakui Perakuan Siap Kerja bagi Kerja-Kerja Pembaikan Jenang dan Frame Tingkap Nako Asrama serta Lain-Lain Kerja di institusi berkenaan yang berjumlah RM484,580.
Bagi dua lagi pertuduhan, lelaki itu didakwa menerima suapan masing-masing RM2,000 dan RM3,000 daripada individu sama bagi tujuan yang sama serta di tempat sama pada 15 Ogos dan 28 September 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum berpandukan Seksyen 24(1) akta sama, sabit kesalahan membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Sherina Farhana Nor Sa’ari mencadangkan ikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan berserta syarat pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM Melaka.
Peguam, Mohd Nazri Abd Hamid merayu jaminan rendah dengan alasan tertuduh kini berkhidmat di sebuah sekolah rendah dengan pendapatan RM2,800 sebulan selain menanggung isteri dan ibu yang uzur.
Mahkamah membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM10,000 berserta syarat dipohon pendakwaan sementara menunggu perbicaraan selesai dan menetapkan 30 Mei ini untuk sebutan semula kes itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




