lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Majikan sektor perkhidmatan makanan dan minuman (F&B) yang liat mendaftar dan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dikhuatiri menggaji pendatang asing tanpa izin (Pati).
Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, caruman Perkeso adalah antara syarat ditetapkan kerajaan sejak 2019 untuk memperbaharui permit pekerja warga asing.
Justeru katanya, tiada alasan bagi majikan bersifat culas sehingga mengabaikan aspek perlindungan kepada pekerja masing-masing.
“Tak munasabah apa jua alasan diberikan majikan. Kalau tak carum, memang 100 peratus mereka tak boleh nak perbaharui permit pekerja, kecuali ada pekerja Pati. Itu sudah salah dari sisi undang-undang.
“Bagi pekerja tempatan yang berdepan situasi majikan tak buat caruman Perkeso, pekerja boleh laporkan pada bila-bila masa kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk tindakan lanjut.
“Sebenarnya, caruman Perkeso bukan sahaja beri faedah kepada pekerja, malahan kepada majikan itu sendiri untuk jangka masa panjang kalau ada kematian dan kecederaan lebih-lebih lagi perlindungan pencen ilat,” katanya kepada Harian Metro.
Semalam, Perkeso mendedahkan bahawa majikan sektor perkhidmatan F&B serta penginapan dikesan paling liat mendaftar dan mencarum dengan agensi itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dipetik berkata, sektor itu mencatat kadar ketidakpatuhan tertinggi dengan kompaun dan pendakwaan mencecah 880 kes sejak tahun lalu.
Sementara itu, Presiden Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA), Dr Sri Ganesh Michiel menegaskan bahawa industri hotel berlesen diwajibkan mendaftar dan mencarum dengan Perkeso.
Menurutnya, berdasarkan pemerhatian beliau, sektor penginapan yang tidak mencarum dengan Perkeso kebiasaannya membabitkan syarikat penyedia penginapan jangka pendek yang tidak berlesen.
“Pembekal penginapan jangka masa pendek ini contohnya mereka menjadikan rumah di pangsapuri atau kondominium sebagai inap desa tak berlesen.
“Perniagaan umpama hotel, tapi mereka tak perlu bayar tarif elektrik, mereka juga ada pekerja pembersihan, tukang kemas bilik dan pekerja yang uruskan daftar keluar dan masuk.
“Pekerja mereka tidak mencarum dengan Perkeso dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Kenapa mereka tidak mencarum? Sebab perniagaan mereka itu sendiri adalah perniagaan yang tidak berlesen,” katanya.
Justeru, Sri Ganesh menggesa kerajaan supaya memberi layanan adil kepada industri hotel dengan turut mewajibkan pelesenan terhadap ‘homestay’ yang beroperasi di pangsapuri serta kondominium.
© New Straits Times Press (M) Bhd




