KKM buat persediaan kemungkinan AS kenakan tarif 24 terhadap produk farmaseutikal

KKM buat persediaan kemungkinan AS kenakan tarif 24 terhadap produk farmaseutikal

am@hmetro.com.my

Tapah: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang membuat persediaan rapi berhubung kemungkinan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif 24 peratus termasuk ke atas produk farmaseutikal.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, walaupun sebelum ini terdapat pengecualian diumumkan Presiden AS, Donald Trump ke atas produk farmaseutikal dan peralatan peranti perubatan, namun terdapat ketidaktentuan melalui petunjuk baharu yang mana kemungkinan penetapan itu berubah.

“Selaku menteri, memang saya sendiri sudah memerhatikan pengumuman yang dibuat bermula dengan sebutan mengenai pengecualian kepada kedua-duanya iaitu peranti perubatan dan produk farmaseutikal.

“Tetapi saya dengar mutakhir ini ada perubahan sikap pula dalam penyenaraian itu. Saya sudah menanti dengan cemas (sama ada) adakah akan terkait juga hal bersabitan dengan perubatan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni & Ramah Mesra YB Menteri Kesihatan bersama warga kerja kesihatan Daerah Batang Padang di Hospital Tapah, di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Kesihatan Perak, Dr. Feisul Idzwan Mustapha.

Dr Dzulkefly berkata, menerusi perbincangan dalam mesyuarat Kabinet semalam, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ada menyebutkan tarif berkaitan farmaseutikal masih dalam proses akhir pengumuman sama ada terdapat pengecualian atau sebaliknya.

“Itu yang saya sedang tunggu. Yang kita tidak faham kenaikan tarif itu dikenakan terhadap barangan dan perkhidmatan yang kita bawa masuk atau diimport ke AS, menjadikan kenaikan itu sebenarnya dibayar oleh rakyat AS sendiri.

“Kalau dulu AS$100, sekarang jadi AS$124 yang sekali gus menjadikan barangan kita itu kurang kompetitif, dengan kata lain pasti akan menjejaskan kuasa pembelian, serta pembekalan dan seumpamanya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top