'Saya bukan IGP' – Nga enggan ulas siasatan letupan paip gas

'Saya bukan IGP' – Nga enggan ulas siasatan letupan paip gas

am@hmetro.com.my

Ipoh: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming meminta semua pihak menghormati prosedur perundangan dengan tidak menimbulkan sebarang spekulasi apabila sehingga kini, nama kontraktor yang dikaitkan dengan kejadian letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, belum didedahkan.

Nga berkata, beliau tidak berada di posisi untuk mendedahkan jawapan mengenai perkara itu yang kini masih dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita jangan buat spekulasi, hormat proses siasatan yang sedang dijalankan oleh PDRM. Sekiranya didapati ada pihak yang bersalah, ia akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

“Jadi kita serah kepada pihak berkuasa yang menyiasat untuk dedahkan apa sebab sebenar. Saya tidak ingin terbabit dalam mana-mana spekulasi.

“Saya serah kepada pihak polis. Saya tidak berada di posisi untuk menjawab hasil siasatan polis, kecuali jika saya IGP (Ketua Polis Negara), maka barulah soalan itu adil untuk ditanyakan kepada saya,” katanya kepada media pada sesi sidang media Majlis Penyerahan Projek Naik Taraf Jalan Medan Ipoh 2, di Bandar Baru Medan Ipoh, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, peruntukan RM1.37 juta disampaikan oleh KPKT kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi melaksanakan fasa kedua kerja menaiktaraf tujuh jalan yang memerlukan penurapan segera, meliputi kepanjangan keseluruhan 3.15 kilometer (km) di sekitar kawasan Bandar Baru Medan Ipoh.

Naik taraf itu juga, menurut Nga, akan menambah lagi 250 petak parkir baharu yang berada di bawah pentadbiran MBI, selain memberi keselesaan kepada peniaga di kawasan terbabit.

Nga berkata demikian ketika ditanya mengenai desakan pihak yang tidak berpuas hati apabila nama kontraktor dikaitkan dengan kes letupan paip gas itu sehingga kini tidak didedahkan, sekali gus mengundang pelbagai spekulasi negatif.

Kata Nga lagi, fasa kedua iaitu pemulihan dalam membantu rakyat atau penduduk terjejas insiden berkenaan akan bermula esok, apabila kira-kira 2,000 pekerja, antaranya terdiri daripada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan bergotong-royong membersihkan kawasan terjejas.

“Kita fokus 100 peratus membantu rakyat terkesan. Ia dibahagikan kepada tiga fasa dengan fasa pertama iaitu penyelamatan sudah selesai, manakala esok (Sabtu) bermulanya fasa pemulihan melalui gotong-royong yang diadakan bagi membersihkan kawasan rumah terbabit kejadian itu.

“Fasa ketiga adalah paling mencabar iaitu pembinaan semula, apabila setakat ini 219 buah rumah terjejas, dengan 87 unit hangus, ‘total loss’ (rosak secara keseluruhan). Kita sudah cari dana dan ada pelan tindakan.

“Jadi (pelan) tindakan memasuki fasa ketiga ini bila semuanya sudah siap nanti saya bersama dengan Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) dan juga Petronas akan buat pengumuman. Berikan kami masa, kami bekerja 24 jam,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top