8 kambing mati diserang harimau kumbang di Kampung Mendom

8 kambing mati diserang harimau kumbang di Kampung Mendom

am@hmetro.com.my

Nilai: Lapan kambing milik penduduk Kampung Mendom, dekat Lenggeng di sini, mati dipercayai diserang harimau kumbang, tengah malam tadi.

Kejadian disedari kira-kira jam 8 pagi tadi apabila ahli keluarga pemilik kambing mahu memberikan makan kepada ayam dan itik yang dibela mereka di bahagian belakang rumah.

Noor Fadzrina Elyani Abd Rahman, 36, berkata hanya seekor anak kambing yang dibaham haiwan pemangsa berkenaan, manakala kambing lain hanya ditinggalkan dengan kesan cakar dan gigitan.

“Kami tidak pasti kejadian tepatnya jam berapa kerana tidak dengar bunyi mencurigakan lebih-lebih lagi hujan lebat pagi tadi. Namun ia dianggarkan dalam tengah malam hingga awal pagi.

“Malam tadi hanya kakak ipar dan suaminya berada di rumah, manakala bapa berada di Pulau Pinang melawat kakak saya. Kakak ipar yang mahu bagi makan ayam terkejut apabila jumpa bangkai kambing bergelimpangan,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, kakak iparnya yang ketakutan segera masuk ke rumah yang memaklumkan kejadian kepada suaminya sebelum menghubungi ketua kampung.

“Ayah baru sahaja bina kandang kambing ini beberapa bulan lalu dan kami juga baru tinggal di sini pada 2023. Di bahagian belakang rumah ada kebun sawit dan biasanya didatangi beruk serta monyet sahaja.

“Dalam kandang ada lapan kambing dan semuanya mati. Namun, hanya seekor anak kambing yang dimakannya manakala kambing lain mati di dalam kandang.

“Sejurus maklumkan kepada ketua kampung, dia laporkan kepada polis dan Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara). Mereka datang buat siasatan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Mendom, Hanapiah Baba, 57 berkata, berdasarkan penemuan tapak kaki dan siasatan di lokasi, Perhilitan mengesahkan haiwan berkenaan adalah harimau kumbang.

“Lokasi rumah itu berada di tengah kampung dan laluan orang awam. Jadi saya minta kepada penduduk supaya ambil langkah berjaga-jaga selagi ia belum ditangkap,” katanya.

Sementara itu Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri berkata, siasatan awal mendapati, harimau kumbang terbabit disyaki memasuki kandang kambing melalui kawasan ladang sawit berhampiran.

“Terdapat kesan tapak kaki harimau kumbang di sekitar kawasan kandang kambing. Jadi, kami nasihatkan pengadu supaya menutup kandang sepenuhnya dan mengawasi ternakan mereka terutama waktu malam,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan memasang perangkap harimau di lokasi berkenaan dan penduduk juga dinasihatkan menghubungi Perhilitan sekiranya terserempak atau ternampak kelibat haiwan itu.

Beliau berkata, mereka juga diminta tidak mengambil tindakan sendiri bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

tamat

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top