asyikin.mat@hmetro.com.my
Rumah teras dua tingkat ini berubah wajah seperti muzium barangan antik!
Itu hasil sentuhan kreatif usahawan, Alpian Jamil, 55, dalam menatas hias rumahnya mengikut gaya klasik.
Apa tidaknya rumah yang sarat dengan pelbagai jenis koleksi barangan antik era 1970-an sebagai hiasan utama.
Alpian berkata, dia memilih tema dekorasi itu kerana dirinya berjiwa klasik dan meminati barangan antik.
Menurutnya, idea dekorasi itu membawa bayangan ‘perjalanan’ kehidupan dirinya yang dilahirkan pada 1970.
Menurutnya, idea dekorasi itu membawa bayangan ‘perjalanan’ kehidupan dirinya yang dilahirkan pada 1970.
“Barangan antik ini dapat mengembalikan nostalgia ketika zaman kanak-kanak dan saya mahu mengekalkan kenangan itu.
“Apatah lagi barangan ini adalah pemberian saudara-mara dan saya beli daripada pengumpul barangan antik.
“Malah ada juga saya kutip barangan ini yang dibuang orang di tapak pelupusan sampah,” katanya.
Menurutnya, mana-mana bahagian yang rosak dibaiki, dicuci dan dicat semula supaya barangan itu tampil ‘baharu.’
“Proses ini agak renyah, tetapi berbaloi dan berpuas hati kerana memiliki barangan antik idaman serta jarang jumpa.
“Antara koleksi barangan antik berharga saya miliki ialah almari berusia 79 tahun.
“Ia istimewa kerana diperbuat daripada kayu yang dipotong menjadi bentuk melengkung,” katanya menetap di Kangkar Pulai, Johor.
Tidak sekadar itu, ada juga perabot keluaran 1940-an hingga 1960-an milik Alpian yang diperbuat daripada kayu berkualiti tinggi seperti seraya batu dan jati yang tidak dimakan anai-anai.
Katanya lagi, penataan alat muzik lama iaitu gramofon dan radio lama menyerlahkan lagi idea dekorasi 1970-an.
“Ia diserikan dengan hiasan pelbagai poster lama 1970-an gambar rokok dan bingkai kain guni tepung.
“Walaupun saiz rumah ini sederhana iaitu seluas 18′ x 65′, tetapi bukan halangan untuk mencipta dekorasi impian.
“Koleksi barangan antik di rumah ini banyak dan saya perlu bijak menyusun aturnya.
“Lazimnya saya mengubah kedudukan barangan antik apabila ada koleksi baharu,” katanya.
Jelasnya, dia menyusun mengikut kesesuaian sudut supaya kelihatan teratur.
“Namun, saya mengubah kedudukan barangan antik ini sepenuhnya sempena Aidilfitri untuk keselesaan tetamu yang datang ke rumah berhari raya.
“Keunikan dekorasi rumah turut menarik perhatian orang ramai untuk bergambar sepanjang Syawal ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



