KPN pantau persiapan keselamatan sebelum ketibaan Presiden China

KPN pantau persiapan keselamatan sebelum ketibaan Presiden China

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain hari ini melakukan pemantauan melalui udara dan mendengar taklimat sebahagian persiapan keselamatan sebelum ketibaan Presiden Xi Jinping.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu hantaran di Facebook berkata, Presiden China itu dijadual melawat Malaysia pada Selasa hingga Khamis (15 hingga 17 April).

Razarudin melakukan tinjauan udara membabitkan lokasi strategik dan laluan rasmi yang bakal digunakan delegasi dari China kelak.

“Ia bagi memastikan kesiapsiagaan keselamatan tertinggi pasukan melalui Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam di sepanjang lawatan rasmi nanti adalah pada tahap terbaik, dengan penglibatan pelbagai unit,” menurut hantaran itu.

Tinjauan dilakukan menggunakan helikopter AW139 yang dikendalikan sendiri Komander Pasukan Gerakan Udara (PGU), Datuk Noor Sham Md Jani.

Terdahulu, beliau mendengar taklimat Op Fuwa 2025 oleh Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed di lobi Hotel Doubletree By Hilton.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Khalid Saion; Penolong Komander (Operasi) Unit Tindak Khas (UTK) Bukit Aman, Superintendan Mohammad Khairani Khalid dan pegawai kanan PDRM.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top