93 sekolah Yayasan Islam Kelantan tutup hingga 1 Mei

93 sekolah Yayasan Islam Kelantan tutup hingga 1 Mei

bhnews@nstp.com.my

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan memaklumkan semua 93 sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) di negeri ini ditutup sehingga 1 Mei depan.

Ia berikutan, peningkatan kes COVID-19 di negeri ini termasuk penularan kes dalam kalangan pelajar.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Negeri,

Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata semua 93 sekolah termasuk sekolah harian biasa dan asrama penuh disambung tutup.

Katanya, pihak sekolah perlu ambil maklum untuk memberitahu ibu bapa atau penjaga berhubung penutupan ini.

“Proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) perlu berjalan seperti biasa. Kita menutup sekolah di semua daerah kerana Kelantan masih melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 29 April ini.

“Ia juga demi kebaikan pelajar dan untuk mengekang COVID-19 daripada menular di sekolah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, pelajar yang tinggal di asrama juga kekal tinggal di asrama, manakala pelajar di rumah perlu menjaga diri dengan meluangkan masamengulang kaji pelajaran.

“Kita menasihatkan supaya ibu bapa memantau anak yang tinggal di rumah bagi memastikan proses pembelajaran berjalan seperti biasa.

“Ibu bapa juga diminta tidak hadir ke tempat sesak dan patuh prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, semua daerah di Kelantan dilaksanakan PKP sehingga 29 April depan, susulan peningkatan kes COVID-19.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top