mdroji@bh.com.my
Kuching: Seorang lelaki dan anak perempuannya hilang selepas pikap yang mereka naiki dihanyutkan arus deras di Sungai Sengayan di kawasan Hulu Baram di pedalaman Bahagian Miri, hari ini.
Mangsa dikenal pasti, Dawellies Luing, 46 yang bertugas sebagai Pembantu Pengurusan Murid (PPM) di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Jekitan bersama anaknya, Vallerie Mentie Dawellies, 9.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, dua beranak terbabit yang menaiki pikap jenis ‘single cab’ cuba menyeberangi sungai berkenaan.
Beliau berkata, bomba menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada pegawai dari Ibu Polis Daerah (IPD) Marudi pada jam 12 tengah hari ini.
“Lokasi kejadian itu hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda dan mengambil masa perjalanan antara 10 hingga 12 jam melalui jalan balak serta laluan sungai.
“Empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi yang diketuai PBKI Nasir Razali kini dalam perjalanan ke lokasi dengan menaiki pikap Mitsubishi Triton.
“Operasi mencari dan menyelamat akan diaktifkan sebaik anggota tiba di lokasi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd