firdaushashim@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Suasana hening dan hiba menyelubungi perkarangan rumah mantan Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Mazlan Ahmad di sini, malam tadi.
Mazlan disahkan meninggal dunia petang tadi pada usia 75 tahun.
Menerusi tinjauan Arena Metro di kediaman keluarga Allahyarham pada jam 10 malam tadi, kelihatan keluarga dan sahabat terdekat arwah hadir.
Antara yang sempat ditemui, beberapa bekas ‘orang lama’ dalam kewartawanan sukan tanahair hadir menziarahi Allahyarham dan menemui keluarga arwah.
Malah tidak ketinggalan, beberapa pegawai MSN turut kelihatan dan sempat meluangkan masa hampir sejam setengah dengan membaca Yasin.
Pada jam 11 malam, Ketua Kontinjen Sukan Asia 2002 di Busan, Korea Selatan, Tan Sri Mohd Khalid Yunus juga hadir.
Arena Metro sempat menemubual bekas Pengarang Sukan Berita Harian, Bakti Alias mengenai arwah yang disifatkannya seorang yang tegas.
Katanya, arwah banyak mencurahkan idea dan merangka strategi terbaik bagi meningkatkan industri sukan tempatan.
“Mula kenal arwah pada 1985 dan mula rapat pada tahun 1991. Beliau tegas dan kalau orang yang tak tahu mungkin akan takut nak jumpa beliau.
“Beliau sebenarnya gemar mendidik kita. Kita kehilangan satu tokoh sukan, beliau disifatkan arkitek sukan negara,” katanya ketika ditemui di perkarangan rumah Allahyarham.
Esok pagi jenazah akan di bawa ke Masjid Al Ehsan di Kelana Jaya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 9 Kota Damansara pada jam 9 pagi.
Sebagai rekod, Allahyarham menjadi antara watak penting dalam pembangunan atlet yang cemerlang antaranya menerusi program Jaya 98 sebagai persiapan atlet ke Sukan Komanwel 1998.
Beliau juga dianggap sebagai ‘arkitek’ di sebalik kejayaan bersejarah di Sukan Komanwel itu yang menyaksikan kontinjen negara menamatkan saingan di kedudukan keempat keseluruhan dengan 10 pingat emas, 14 perak dan 12 gangsa.
Beliau juga pernah memegang tanggungjawab sebagai ketua kontinjen Sukan SEA 2001 serta jawatan di persatuan sukan kebangsaan seperti lumba basikal.
Beliau juga pernah menerima Anugerah Tokoh Sukan Kebangsaan bagi tahun 2022.
© New Straits Times Press (M) Bhd




