am@hmetro.com.my
Kepala Batas: Jasa Perdana Menteri Kelima Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang mengubah wajah kepala Batas dari pekan ‘koboi’ kepada bandar maju akan diingati seluruh penduduk kawasan ini.
Pengerusi Kariah Masjid Al Jamiul Badawi Datuk Shariful Azhar Othman, berkata warga Kepala Batas menikmati kemakmuran hingga hari ini hasil dan usaha yang dibawa Tun Abdullah yang lebih mesra dikenali ‘Pak Lah’.
Menurutnya, Pak Lah menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas selama tujuh penggal sebelum melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri.
“Sepanjang khidmatnya, Kepala Batas merasai kemakmuran yang kita tengok Kepala Batas berubah dari sebuah pekan koboi menjadi bandar (maju).
“Kita sudah menikmati jasa dari beliau seorang pemimpin, Ahli Parlimen selama tujuh penggal dan Perdana Menteri yang ia akan diingati seluruh warga Kepala Batas,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Al Jamiul Badawi, di sini, hari ini.
Katanya, masjid berusia lebih 200 tahun yang didirikan nenek moyang Pak Lah juga menyimpan pelbagai kenangan dengan tokoh negarawan berkenaan dan masih tersergam indah.
“Apabila kita lihat pada mimbar yang berusia lebih 100 tahun yang ada dalam masjid ini ia digunakan tiga generasi bermula dari datuknya, Sheikh Abdullah Fahim, bapa (Ahmad Badawi) dan Pak Lah untuk menyampaikan khutbah yang ia tidak pernah langsung diubah atas permintaan Pak Lah sendiri.
“Malah, orang tuanya termasuk datuknya juga disemadikan di tanah perkuburan masjid ini yang ia menyimpan pelbagai kenangan bukan sahaja ahli keluarga Pak Lah tetapi juga penduduk di sini,” katanya.
Katanya, anak kariah kawasan itu akan mengadakan bacaan tahlil dan Yasin untuk disedekahkan kepada Allahyarham Pak Lah dalam masa terdekat.
Sementara itu, penduduk, Mohamad Saleh Rashid,72, berkata kehilangan sosok Pak Lah amat dirasai apatah lagi memikirkan sumbangannya yang telah membangunkan Kepala Batas menjadi terkenal dan hebat.
“Selain menjadikan Kepala Batas, sebagai pekan yang tersergam indah, saya amat kagum dengan usaha Pak Lah membangunkan kawasan kampung terutamanya di Permatang Bertam.
“Permatang Bertam membangun tetapi masih mengekalkan ciri kampung yang bagi saya itu adalah keistimewaan yang ada pada Pak Lah yang hingga kini saya kagum,” katanya.
Abdullah, 85, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), dekat Kuala Lumpur pada jam 7.10 malam.
Jenazah Pak Lah akan dikebumikan di Makam Pahlawan di Masjid Negara, esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




