Santuari Kelip-Kelip Kampung Yak Yah platform penyelidikan, pendidikan alam sekitar

Santuari Kelip-Kelip Kampung Yak Yah platform penyelidikan, pendidikan alam sekitar

zatuliffah@hmetro.com.my

Chukai: Pembangunan Projek Santuari Kelip-Kelip Kampung Yak Yah di sini bukan hanya menjadi destinasi pelancongan namun turut berfungsi sebagai platform untuk penyelidikan, pendidikan alam sekitar dan aktiviti sukarelawan pemuliharaan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, projek yang dimulakan pada 2019 dan siap sepenuhnya pada April tahun lalu dengan kos RM5.3 juta itu turut menjadi simbol pemeliharaan alam sekitar.

Beliau berkata, santuari itu juga memberi peluang kepada penduduk setempat menjana ekonomi komuniti setempat melalui pelancongan lestari.

“Peruntukan keseluruhan adalah daripada kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang berjumlah RM5.3 juta dan dibangunkan oleh Jabatan Landskap Negara bersama-sama dengan Majlis Perbandaran Kemaman.

“Pembangunan projek ini bagi tujuan pemuliharaan, restorasi dan rehabilitasi habitat kritikal untuk kelangsungan populasi kelip-kelip di ekosistem Sungai Chukai.

“Bagi menyokong usaha pemuliharaan habitat kelip-kelip, sejumlah 200 pokok bakau; 2,000 pokok berembang dan 500 pokok nipah ditanam sepanjang Sungai Chukai,” katanya selepas merasmikan Santuari Kelip-Kelip Kampung Yak Yah di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan , Perumahan dan Kesihatan Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah.

Aiman Athirah berkata, santuari yang turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti jeti pelawat, pusat informasi dan perkhidmatan bot menyusuri sungai amat istimewa kerana diiktiraf sebagai salah satu lokasi kelip-kelip terunggul di Malaysia.

Katanya, santuari berkenaan menjadi habitat semula jadi kelip-kelip daripada spesies Pteroptyx tener yang unik kerana berupaya berkelip secara serentak.

“Fenomena ini amat jarang ditemui dan menjadi tarikan besar kepada peminat alam semula jadi serta eko pelancongan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top