Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Bhd (TNB), menerusi anak syarikat milik penuhnya, TNB Repair and Maintenance Sdn Bhd (TNB REMACO), memperkukuh kedudukannya di peringkat antarabangsa dengan menandatangani kontrak tujuh tahun bersama Kementerian Elektrik, Air dan Tenaga Boleh Baharu (MEWRE) Kuwait.
Menerusi kontrak baharu yang bernilai kira-kira RM705 juta itu, TNB REMACO bersama rakan kongsi dari Kuwait, AL DHOW Engineering memberi tumpuan kepada kerja penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih menyeluruh (MRO) bagi Loji Jana Kuasa dan Penyulingan Air Sabiya.
Terletak 65 kilometer dari Kuwait, loji dengan empat unit jana kuasa minyak dan gas berkapasiti keseluruhan 299.4 megawatt (MW) itu memainkan peranan penting dalam infrastruktur tenaga negara berkenaan.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan, berkata perjanjian itu mencerminkan keyakinan MEWRE terhadap usaha sama TNB REMACO-AL DHOW untuk menyediakan penyelesaian tenaga yang berkualiti tinggi dan mampan, bagi menyokong permintaan tenaga yang semakin meningkat di Kuwait.
Beliau berkata, kontrak itu sejajar dengan misi TNB untuk menjadi penyedia penyelesaian tenaga mampan yang terkemuka, bukan saja di Malaysia malah di peringkat antarabangsa.
“Selain Kuwait, kami turut mengembangkan sayap ke United Kingdom (UK), Ireland, Australia, Turkiye, Arab Saudi, Pakistan dan Kemboja,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau turut menekankan komitmen TNB dalam menyokong sektor tenaga di Kuwait sambil mengembangkan portfolio antarabangsa.
Katanya, kerjasama itu bukan saja mengukuhkan kepakaran teknikalnya, malah turut mempereratkan hubungan ekonomi antara Malaysia dan Kuwait.
Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) dan Pengerusi TNB REMACO, Datuk Ir Muhamad Nazri Pazil pula menekankan kehadiran kukuh TNB REMACO di Kuwait.
© New Straits Times Press (M) Bhd




