Kangar: Kompleks Perumahan UniCITI Alam (KPUA) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Kampus Sungai Chuchuh dekat Padang Besar mengalami gangguan bekalan air sejak 7 April lalu akibat kebocoran saluran utama perpaipan berhampiran yang menyebabkan tekanan air terlalu rendah di kawasan itu.
UniMAP dalam kenyataan hari ini memaklumkan beberapa langkah mitigasi telah diambil untuk memastikan kebajikan mahasiswa terkesan.
Antaranya semua kuliah mahasiswa Fakulti Perniagaan dan Komunikasi (FPK) dilaksanakan secara dalam talian sehingga dimaklumkan kelak selain turut menggerakkan penghantaran lori tangki air serta menyediakan tangki air di setiap blok.
Menurut kenyataan itu maklumat berkaitan akan disampaikan serta dikemas kini melalui aplikasi Telegram dan WhatsApp selain memanjangkan waktu operasi Pusat Kesihatan UniMAP serta menyediakan pengangkutan ke masjid dan rumah ibadah berdekatan.
“Pihak pengurusan universiti memandang serius berkaitan hal ehwal kebajikan mahasiswa terutamanya dalam memastikan aspek pembelajaran tidak terjejas.
“Maka usaha sedang giat dijalankan secara berterusan bagi memastikan isu itu dapat diselesaikan secepat mungkin,” menurut kenyataan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd