norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Hampir 10 tahun tidak bertemu dengan pemain gitar lagenda Jepun, Kyoji Yamamoto, ratu rock negara, Ella, 59, akan membawa lelaki itu beraksi di dalam konsert istimewanya, Ella USA pada 17 Mei depan.
Terdahulu, Ella dan Yamamoto sudah saling mengenali sejak 30 tahun lalu ketika pemuzik berpengalaman hebat itu turut terbabit dalam pembikinan album Ella USA yang dilancarkan pada 1994.
“Saya dengan Yamamoto, antara kami masih lagi baik dan tetap berhubung hingga kini. Malah, dia (Yamamoto) juga pernah hadir sebagai pemuzik undangan saya dalam Konsert 30 Tahun Ella pada 2016 lalu.
“Hampir 10 tahun juga kami tidak bertemu dan bekerjasama. Jadi, saya bakal bawakan semula Yamamoto datang ke Malaysia khas untuk Konsert Ella USA yang akan berlangsung di Arena of Stars Genting Highlands,” katanya kepada Harian Metro.
Ella ketika ditemui pada sidang media di ibu kota semalam berkata, dia sehingga kini masih berasa kagum dengan bakat Yamamoto dalam bidang muzik sebagai pemain gitar terkenal di arena antarabangsa.
Berbicara pengalaman lalunya ketika merakamkan album Ella USA itu, katanya dia sangat berbangga kerana dapat bekerjasama dengan pemuzik handalan dari luar negara yang cara bekerja mereka sangat berbeza.
“Malah, ada juga beberapa pengalaman yang saya tidak boleh lupakan seperti pernah berjalan dalam kesejukan untuk ke studio rakaman, selain pernah juga merasai situasi gempa bumi.
“Tidak hanya itu, proses rakaman lagu di studio untuk album Ella USA juga dibuat sepenuhnya pada waktu siang. Ia sama sekali berbeza di Malaysia yang kita biasa rakam lagu pada waktu malam,” katanya.
Ujar Ella lagi, apa yang pernah dilaluinya ketika rakaman album itu adalah pengalaman sangat berharga dan amat dibanggakan oleh dirinya kerana ia tidak boleh dibeli di mana-mana.
“Mengenai Konsert Ella USA ini dijangka akan berlangsung hampir dua jam dengan kebanyakan lagu yang saya nyanyikan nanti daripada album berkenaan. Harapan saya agar peminat terhibur.
“Apapun, album Ella USA ini tetap sangat unik di mata saya. Termasuk, ada antara lagunya masih diingati peminat sampai sekarang dan ‘evergreen’ seperti lagu Demi, Nuri, Permata Pemotong Permata (PPP) dan beberapa lagi,” katanya.
Ella yang sudah empat dekad aktif dalam karier seni suara akan berusaha memberi persembahan yang terbaik kepada penonton berikutan harga tiket Konsert Ella USA ditetapkan antara RM389 sehingga RM99 dan masih lagi dijual.
© New Straits Times Press (M) Bhd




