RM61 juta atasi hakisan pantai Batu Ferringhi, Tanjung Bungah

RM61 juta atasi hakisan pantai Batu Ferringhi, Tanjung Bungah

am@hmetro.com.my

Georgetown: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM61 juta bagi pelaksanaan projek menangani masalah hakisan pantai yang semakin meruncing di kawasan Batu Ferringhi dan Tanjung Bungah di sini dalam jangka masa panjang.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata peringkat awal projek membabitkan penyediaan reka bentuk projek secara terperinci yang akan dimuktamadkan tahun ini sebelum pelaksanaan kerja fizikal meliputi jarak tujuh kilometer.

Menurutnya, perhatian khusus akan diberikan bagi memastikan kerja yang dilakukan tidak mencacatkan keindahan kawasan berkenaan termasuk garis panduan khusus untuk mengelakkan timbunan batu yang boleh menjejaskan tarikan pantai.

“Fokus utama adalah untuk memastikan keselamatan pantai dan pada masa sama mengekalkan tarikan pelancongan di kawasan ini kerana Batu Ferringhi dan Tanjung Bungah merupakan lokasi tumpuan pelancong dan aktiviti rekreasi.

“Jadi ada beberapa pertimbangan yang perlu dibuat dalam keadaan kita juga perlu mengekalkan nilai estetik kawasan pantai berkenaan supaya tarikan di situ tidak hilang disebabkan kerja-kerja mengawal hakisan pantai.

“Contohnya kita tidak bolehlah melonggokkan batu-batuan kerana ia akan menghilangkan pantai itu sendiri,” katanya selepas meninjau enam lokasi hakisan pantai di Kedah dan Pulau Pinang yang turut disertai Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pakar) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Ir Rozman Mohamad.

Akmal Nasrullah berkata, rancangan reka bentuk projek tersebut membabitkan penilaian aliran air dari tiga sungai di kawasan berkenaan untuk melihat bagaimana faktor semula jadi berinteraksi dengan persekitaran pantai.

“Projek pemulihan pantai ini dijangka berlangsung selama enam tahun dengan keseluruhan skop kerja akan siap beserta tempoh liabiliti kecacatan (DFL).

“Pemaju yang terlibat perlu komited terhadap garis masa projek dan memastikan kawasan yang terjejas diperiksa sepenuhnya bagi mengenal pasti potensi hakisan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top