Penyanyi, Datuk Nora Ariffin, 53, nekad membuat permohonan cerai terhadap suaminya, Dr Rushdi Ramli, 59, Isnin ini di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.
Memetik laporan Harian Metro, Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Wan Ariffin dalam satu kenyataan berkata, keputusan tersebut akan diambil bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga yang berlaku.
“Saya Datuk Wan Norafizah Wan Ariffin dengan ini akan memberikan kenyataan rasmi berhubung status rumah tangga saya dan suami yang menjadi perbualan dan perhatian umum sejak akhir-akhir ini.
“Tidak dinafikan bahawa segala usaha untuk memulihkan rumah tangga kami sudah melalui pelbagai peringkat termasuklah sesi pertemuan dan perbincangan bersama pihak-pihak tetapi masih tidak mencapai kata penyelesaian.
Malah, ia menjejaskan keselamatan serta merosakkan reputasi saya sebagai seorang artis yang sudah bergiat lama dalam industri muzik.
“Dengan dukacita, saya bertekad membuat keputusan untuk memfailkan permohonan cerai terhadap suami, Dr Rushdi. Hal ini berikutan wujudnya campur tangan pihak ketiga sehingga perkahwinan kami tidak lagi dapat diteruskan dengan aman,” katanya.
Mengaku terkesan dari segi keselamatan, ibu empat anak ini, bakal memfailkan permohonan cerai pada Isnin ini jam 10.30 pagi bersama peguam syarie mewakilinya dari Tetuan Sarah Ali & Co.
Nora turut memaklumkan kenyataan media berkenaan adalah bertujuan untuk memberi penjelasan terhadap keadaan yang sebenar dan menghentikan spekulasi yang timbul.
Sebelum pernikahan kali keduanya, Nora kehilangan suami tercinta iaitu komposer Johan Nawawi yang meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung.
Pada Disember 2021, Nora menerusi hantaran di media sosialnya mengesahkan dia sudah bergelar isteri kepada Dr Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Universiti Malaya (UM).
Sumber: Harian Metro




