Liverpool: Pengurus Liverpool, Arne Slot, menegaskan bahawa mengekalkan skuad sedia ada yang sedang menghampiri kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) adalah lebih penting daripada melakukan pembelian besar-besaran musim panas ini.
Slot berkata demikian selepas dua tonggak utama, Mohamed Salah dan Virgil van Dijk, masing-masing menandatangani kontrak baharu untuk kekal di Anfield – suntikan moral besar menjelang kempen 2025.
Namun dalam masa sama, Trent Alexander Arnold dilaporkan masih berisiko meninggalkan kelab apabila kontraknya tamat hujung musim ini, dengan Real Madrid menjadi destinasi paling hangat diperkatakan.
Van Dijk sebelum ini memberi bayangan bahawa musim perpindahan akan datang bakal menyaksikan ‘perubahan besar’.
Tapi bagi Slot, dengan kelebihan 13 mata di puncak liga, fokus utamanya kini ialah mengekalkan momentum skuad sedia ada.
“Kita tengok apa yang akan berlaku sepanjang musim panas nanti, tapi untuk saya cakap sekarang yang saya tak gembira dengan pasukan ini adalah pelik,” kata Slot.
“Saya dah ulang banyak kali, kami gembira dengan skuad yang kami ada. Kalau kami dapat kekalkan pasukan ini – itu sendiri sudah cukup besar untuk musim panas.”
Slot juga berkata, bahawa mengekalkan ‘teras pasukan’ lebih penting daripada menambah ramai muka baharu.
“Kalau kita boleh simpan teras itu selama mungkin, dan selagi mereka kekal beri prestasi terbaik, itu sudah cukup baik. Tapi biasanya memang elok juga untuk suntik ‘tenaga baharu’ – seorang dua pemain. Cuma ia bukan keperluan mendesak memandangkan kualiti yang kami ada sekarang,” tambahnya.
Pengurus dari Belanda itu setakat ini hanya membuat satu pembelian – Federico Chiesa, yang masih belum memberikan impak besar musim ini.
Liverpool berpeluang merangkul kejuaraan seawal Ahad ini, jika mereka menewaskan Leicester City dan Arsenal pula tewas kepada Ipswich Town.
Alexander Arnold kembali ke sesi latihan selepas pulih daripada kecederaan buku lali, dan berkemungkinan akan diturunkan semula dalam perlawanan penting itu.
Slot tetap berharap dapat memujuk bintang England itu untuk kekal bersama kelab.
“Setiap kali dia berada di atas padang, dia tunjukkan kenapa dia begitu istimewa. Semua yang tengok bola sepak dalam lima, enam tahun ini tahu dia pemain luar biasa.”
“Kita tengoklah nanti apa masa depan dia,” kata Slot lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




