Manchester: Pep Guardiola mahu Manchester City menggunakan kekecewaan tersingkir awal dari Liga Juara-Juara (UCL) musim ini sebagai motivasi untuk memastikan mereka kembali layak ke kejohanan elit itu musim depan.
Selepas tujuh musim berturut-turut mara sekurang-kurangnya ke suku akhir sejak 2018, City terpaksa berputih mata tahun ini apabila disingkirkan Real Madrid dengan agregat 6-3 seawal pusingan kalah mati Februari lalu.
Kekecewaan itu berganda apabila prestasi domestik mereka juga terjejas – ketika ini hanya berada di tangga kelima Liga Perdana Inggeris, 21 mata di belakang pendahulu Liverpool, manakala Chelsea dan Aston Villa hanya satu mata di belakang.
“Sudah tentu ia satu motivasi. Tak salah pun kalau kita kena berjuang untuk kelayakan ke UCL,” kata Guardiola menjelang aksi penting menentang Everton di Goodison Park dan pertemuan dengan Villa di laman sendiri.
“Saya seronok tengok perlawanan UCL minggu ini – perlawanan yang menarik. Sudah tentu saya rindu nak berada di situ, tapi saya terima hakikat ini.
“Kadang-kadang dalam sukan, bila anda tak beraksi baik, anda tak layak. Harapnya musim depan kami boleh kembali dan bersaing lebih baik.”
City bakal turun tanpa Erling Haaland dan penjaga gol utama Ederson, yang cedera dalam kemenangan 5-2 ke atas Crystal Palace minggu lalu.
“Beberapa perlawanan akan datang, Haaland belum bersedia. Ederson juga tak pasti berapa lama akan terpaksa berehat,” jelas Guardiola.
Bagaimanapun, Phil Foden dan Manuel Akanji sudah kembali menjalani latihan penuh manakala John Stones dan Nathan Ake masih dalam proses pemulihan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




