mdroji@bh.com.my
Kuching: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Dawellies Luing, 46, yang hilang selepas pikap dinaikinya dihanyutkan arus deras Sungai Sengayan di Ulu Baram, Miri, Ahad lalu, berhasil apabila lelaki itu ditemui lemas, semalam.
Mayat Pembantu Pengurusan Murid (PPM) Sekolah Kebangsaan (SK) Long Jekitan itu ditemukan kira-kira 2 petang semalam, tujuh kilometer dari tempat kejadian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Miri untuk tindakan selanjutnya.
Berikutan penemuan itu, kedua-dua mangsa yang hilang dalam kejadian kira-kira 10 malam Ahad lalu itu disahkan meninggal dunia.
Terdahulu, mayat anak Dawellies, Valerrie Mentie ditemukan di tebing sungai, 2.20 petang Isnin lalu, iaitu kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.
Dalam kejadian itu, pikap Toyota Hilux jenis ‘single cab’ yang dinaiki seorang pemandu dan tiga penumpang cuba meredah air untuk menyeberangi Sungai Senagayan.
Bagaimanapun, kenderaan terbabit dihanyutkan arus sungai yang deras.
Akibat kejadian itu, Dawellies dan anaknya Valerrie Mentie hilang, manakala isteri Dawellies, iaitu Litun Ajip dan pemandu pikap itu berjaya menyelamatkan diri.
© New Straits Times Press (M) Bhd