bhnews@bh.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan di Semenanjung dan Sarawak yang dijangka berterusan sehingga jam 3 petang ini menerusi ramalan cuaca yang dikeluarkan pada jam 1 tengah hari tadi.
Antara kawasan yang terjejas ialah Perlis, Kedah (Kubang Pasu, Kota Setar dan Yan), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Kuantan, Pekan dan Rompin), Selangor (Hulu Selangor, Gombak, Hulu Langat dan Sepang), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; serta Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin).
Turut dijangka dilanda ribut petir ialah negeri Melaka dan beberapa daerah di Johor iaitu Tangkak, Muar, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
Di Sarawak, kawasan terlibat ialah Sibu dan Kapit (Song).
Menurut METMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku dalam tempoh satu jam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek dan sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk setiap keluaran,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati, mengelakkan kawasan terbuka semasa kejadian cuaca buruk, dan mengikuti perkembangan terkini melalui saluran rasmi METMalaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




