sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tan Sri Mohamad Norza Zakaria secara rasmi diumumkan sebagai Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi tempoh empat tahun akan datang, 2025–2029, sekali gus meneruskan perkhidmatan untuk penggal ketiga berturut-turut.
Bagi Norza, setiap ahli yang dipilih perlu memainkan peranan masing-masing untuk memastikan agenda yang dibawa selepas ini mampu mencapai matlamat yang ditetapkan.
Katanya, perkara itu penting kerana hanya melalui kerjasama yang kukuh mampu memastikan setiap perkara dapat dilaksanakan dengan jayanya.
“Saya membayangkan barisan yang efektif dan berkesan kerana saya tidak mahu ada ‘penumpang’. Jika hanya mengharapkan presiden atau timbalan presiden sahaja, kita tidak akan membentuk satu unit yang besar.
“Unit besar ini memerlukan gabungan daripada semua latar belakang, dan hari ini kita melihat latar belakang itu membentuk satu acuan yang menarik bagi saya. Ini penting untuk memantapkan langkah Olimpik di negara ini,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MOM Ke-44 yang diadakan di sebuah hotel di ibu kota, hari ini.
Selain itu, Norza turut memaklumkan bahawa beliau akan meneruskan perancangan yang dilaksanakan sebelum ini, termasuk pembinaan Rumah Olimpik yang dijangka siap dalam tempoh 24 hingga 36 bulan akan datang.
“Kedua ialah persiapan sebagai tuan rumah Sukan Sea 2027; ketiga, memastikan Malaysia memainkan peranan lebih besar di pentas antarabangsa; dan keempat, pemodenan pentadbiran MOM,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menjelaskan bahawa MOM tidak menerima sebarang peruntukan dana daripada kerajaan kerana ia adalah sebuah badan bebas yang tidak berasaskan keuntungan.
“Kita adalah salah satu daripada 206 negara di bawah IOC (Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa). Peranan kita adalah sebagai umbrella body dan juga sebagai pemilik kepada pelbagai jenis sukan.
“Kita akan membantu dalam pemilihan atlet, proses kelayakan, pengurusan logistik dengan IOC, serta menjalin hubungan dengan Persekutuan Antarabangsa dan pihak-pihak lain. Ini kerana kita tidak bertanggungjawab terhadap program-program sukan yang dianjurkan oleh kerajaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




