am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Sudah 12 tahun berlalu, namun keluarga pelajar tahfiz Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang maut akibat dibunuh pada Disember 2013 tidak pernah berputus asa mencari keadilan buatnya.
Ibunya, Ruhani Hussin, 70, berkata pihaknya akan memfailkan saman kepada pihak yang terbabit bagi membolehkan kes tersebut dibuka semula.
Dia turut merayu kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan kes pembunuhan anaknya yang sehingga kini identiti pembunuh tidak dapat dikenal pasti.
“Sudah lebih sedekad kejadian itu berlaku, memang reda namun sebagai ibu, saya tetap mahu menuntut bela di atas kematian arwah yang mati dalam keadaan tragis.
“Justeru, saya meminta supaya siasatan berkenaan kes kematiannya dibuka semula dan mahu pembunuhnya dikenakan tindakan di atas perbuatan jenayah yang dilakukan,” katanya ketika ditemui bersama peguam di sini, hari ini.
Pada 12 Disember 2013, mayat Wan Ahmad Faris yang ketika itu penuntut Tingkatan Empat ditemui dalam keadaan tergantung di dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Kok Lanas.
Mayatnya ditemui oleh penyelia asrama selepas menghidu bau busuk dari dalam tandas asrama itu dan bedah siasat ke atas mayat mengklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan tiada kaitan dengan unsur jenayah.
Bagaimanapun Mahkamah Koroner pada Jun 2016 memutuskan kematian Wan Ahmad Faris adalah berpunca daripada perbuatan individu yang tidak dikenali, sekali gus menolak kemungkinan arwah membunuh diri.
Susulan keputusan itu, keluarga melakukan pelbagai usaha termasuk menghantar surat rayuan kepada Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia dan Perdana Menteri.
Menurut Ruhani, mereka menerima surat pada Julai tahun lalu yang memaklumkan bahawa kes anaknya diklasifikasikan sebagai ‘No Further Action’ sejak 2020.
Sementara itu, wakil barisan peguam, Liyana Marzuki berkata, pihaknya akan memfailkan saman sebelum akhir Mei ini selepas semua dokumen serta strategi tindakan dimuktamadkan.
Katanya, seramai 10 peguam dari Kuala Lumpur serta Kota Bharu dikumpulkan dan pada masa sama turut menghantar surat kepada Ketua Polis Negara dan Jabatan Peguam Negara pada 25 Mac untuk mendesak supaya kes itu dibuka semula.
“Kita juga mempunyai alasan kukuh supaya pihak berkuasa membuka semula siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




