'Pesilat' masih laku'

'Pesilat' masih laku'

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Tanpa perlu membuka kisah peribadi dan berpegang pada ‘menjual’ bakat lakonannya, Beto Kusyairy membuktikan dia mampu kekal laris di pasaran filem tempatan dan terus menjadi pilihan pengarah.

Tawaran berlakon filem buat pelakon berusia 45 tahun ini tidak pernah putus hingga kini. Dia mengakui jadual kerjanya sangat padat kerana ‘back to back’ masuk ke set penggambaran.

Bakal muncul dengan filem berjudul Gayong mulai 8 Mei depan, Beto atau nama sebenarnya Nur Kusyairy Zakuan Osman berharap karya aksi itu diterima baik penonton.

“Saya sudah berusaha memberi lakonan terbaik untuk menghidupkan watak pengasas silat gayong, Mahaguru Allahyarham Datuk Meor Rahman yang diangkat dalam filem ini. Ia sebenarnya bukanlah watak yang mudah.

“Pada mulanya ketika ditawarkan watak ini oleh penerbit dan pengarah, saya pernah menolaknya. Ini kerana ia mengisahkan biografi seorang individu hebat dalam dunia persilatan Melayu.

“Bagi anak-anak gayong di luar sana seperti saya, memang kami semua kenal dan tahu sejarah hebat persilatan dimiliki Allahyarham atau selalu kita panggil dengan nama ADMAR.

“Jadi, saya ada rasa bimbang juga sekiranya apa yang dibawakan dalam lakonan ada kekurangannya. Tapi, waris arwah daripada anak dan cucunya banyak membantu saya,” katanya.

Beto yang ditemui ketika sesi fotografi di Studio Balai Berita, Bangsar baru-baru ini berkata, setiap watak diterimanya untuk dilakonkan mempunyai cabaran tersendiri dan sebagai pelakon, dia akur.

“Bermacam-macam benda yang muncul bermain di fikiran saya terutama penerimaan masyarakat daripada keluarga arwah sendiri dan anak didiknya terhadap tokoh kesayangan mereka itu.

“Apatah lagi, pelbagai cabaran harus saya lalui untuk watak ini yang menjurus dari sudut tanggapan ramai iaitu mungkin ada ribuan anak murid arwah yang sudah mempelajari silat gayong,” katanya.

Berbicara lanjut mengenai ilmu silat, Beto berkata, dia sudah mengikuti ilmu silat gayong ketika berusia tujuh tahun kerana minat dan kerana ia warisan seni mempertahankan diri orang Melayu.

“Pada saya, sebagai orang Melayu juga kita memang perlu pertahankan silat sebagai warisan bangsa. Ini kerana kalau berkaitan bahasa, sekarang ramai yang suka guna ‘bahasa rojak’ atau bercampur-campur.

“Justeru, saya lihat cuma silat yang kini perlu dipertahankan kerana ‘bunga-bunga’ pergerakan dalam silat itu sangat membentuk disiplin diri. Tidak mudah dipelajari dan asal boleh,” katanya.

Filem Gayong terbitan SOL Pictures dan diedarkan Empire Film Solution menelan bajet pembikinan RM8.5 juta serta diarahkan oleh Faisal Ishak.

Selain Beto, barisan pelakon lain membintangi Gayong ialah Nabila Huda, Syafie Naswip, pelakon aksi dari Indonesia, Yayan Ruhian dan pelakon Thailand, Chevanon Phukaokaew.

Papar latar era 1940-an.

Sebagai karya biopik, latar masa dan tempat sangat penting kerana silat gayong ini sudah bertapak sangat lama di tanah air sejak dikenali Tanah Melayu lagi.

Justeru, dalam filem Gayong ini dipaparkan kehidupan Allahyarham yang mungkin belum diketahui ramai iaitu ketika era 1940-an di mana pengaruh seni silat gayong baru bermula.

“Setahu saya, Allahyarham adalah pelopor yang memulakan silat di Tanah Melayu sebelum didaftarkan secara rasmi. Jadi, garis masa dalam filem ini sangat penting kerana ada unsur sejarah.

“Silat gayong secara rasmi ditubuhkan ketika era 1940-an, di mana pada waktu itu, British masih ada (menjajah) dan Jepun pula mahu ambil alih Tanah Melayu,” katanya.

Menurut Beto, filem Gayong ini juga lebih menjurus pada mahu menonjolkan kehidupan awal Allahyarham Meor yang orang ramai atau pelajarnya tidak pernah tahu mengenai guru silat mereka itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top