Jarang sekali kisah seram berlatar belakangkan budaya dan kepercayaan etnik tempatan mendapat tempat di layar perak.
Namun, industri filem Malaysia bakal digegarkan dengan sebuah filem yang bukan sekadar menyeramkan, tetapi juga kaya dengan elemen budaya dan kisah etnik dusun di Sabah hasil terbitan Pro Merge Vision Sdn. Bhd.
Mengangkat kisah mistik berdasarkan amalan tradisional kaum Dusun, Mantera mengishakan tentang ritual kuno yang masih wujud hingga ke hari ini.
Amalan Bobolian, iaitu bomoh yang dihormati sebagai penjaga adat dan penghubung antara alam manusia dan alam roh.
Menurut pengarah filem, Chester Pang, Mantera diinspirasikan daripada kisah sebenar mengenai Bobolian, satu figura penting dalam komuniti Dusun yang kini semakin dilupakan.
“Tidak ramai yang tahu tentang peranan Bobolian sebagai ketua adat yang menjaga keseimbangan antara alam nyata dan dunia roh, atau dikenali sebagai kinohiringan dalam budaya Dusun,” katanya.
Dibintangi pelakon hebat seperti Syafie Naswip, Namron serta barisan pelakon Sabah iaitu, Jovenia Jim, Wedylin Batala dan Larry Noh, Mantera membawakan kisah penyiasatan kes pembunuhan misteri yang diselubungi unsur mistik dan ritual Bobolian.
Bagaimanapun, apa yang menjadikan Mantera unik adalah ia bukan hanya menakutkan, tapi turut mempersembahkan ritual-ritual sebenar Bobolian yang jarang dilihat oleh umum.
Penonton bukan sahaja akan dibawa masuk ke dalam dunia roh jahat, tetapi juga menyingkap sisi gelap kepercayaan tradisional yang menjadi sebahagian dari identiti masyarakat Sabah.
Namun, bukan semuanya berjalan lancar dek kerana Chester turut mendedahkan beberapa kejadian aneh yang berlaku semasa penggambaran pada Februari 2024.
“Dalam satu babak memanggil roh, dua pelakon wanita, termasuk pelakon utama tiba-tiba dirasuk. Mujur ada seorang guru silat di lokasi yang berjaya membantu menenangkan keadaan,” cerita Chester.
Tidak habis disitu, kru produksi juga pernah di tarik sesuatu sehingga terjatuh ke dalam gaung, dan kejadian itu turut disaksikan sendiri oleh Syafie dan Namron.
Mantera mengisahkan tentangs eorang wanita bernama, Tana yang mewarisi kebolehan spiritual daripada keturunan Bobolian. Namun, mula dihantui oleh roh jahat bernama Lupiah.
Keadaan menjadi semakin gawat apabila insan-insan terdekat mula diserang. Bersama Inspektor Zafri, seorang anggota polis yang menyimpan rahsia masa silam mereka harus mengungkap kebenaran dan menentang entiti kegelapan Rogon Lupiah dalam pertarungan yang mencengkam jiwa.
Bakal ditayangkan pada 24 April di 50 buah pawagam, penonton jangan lepaskan peluang untuk menonton Mantera.