Serlah 'dimensi' lain

Serlah 'dimensi' lain

hafizithnin@mediaprima.com.my

Diam tak diam kita sudah pun memasuki pertengahan Syawal. Di Malaysia, meraikan Syawal selama sebulan adalah perkara yang biasa dilakukan termasuk aktiviti kunjung-mengunjung dan rumah terbuka.

Kadang-kala bagi sesetengah individu yang sering menghadiri majlis keraian seperti itu, pasti tercari-cari gaya yang berlainan untuk melengkapkan penampilan diri. Apatah lagi, jika kerap menghadiri acara dianjurkan organisasi korporat.

Sebenarnya di dalam penggayaan, kreativiti paling penting untuk menonjolkan gaya peribadi di depan khalayak. Ia tidak semestinya hanya bersandarkan kepada koleksi pakaian yang banyak semata-mata.

Dalam ruangan Wanita Metro (WM) kali ini, kami ingin kongsikan kepada anda mengenai cara menonjolkan diri dengan kreatif meskipun tidak mempunyai koleksi pakaian yang banyak di dalam almari.

1. Suai padan

Pada hari ini, menyuai padan pakaian perkara yang biasa dilakukan untuk melahirkan satu gaya yang baharu. Sebenarnya, pakaian sedia ada boleh menjadi sesuatu yang unik apabila anda bijak mengaturnya.

Misalnya, anda ada set baju kebaya, seluar atau kain pelekat di dalam dalam almari. Sebenarnya jika anda bijak untuk menyuai padankan baju kebaya itu yang sebelum ini datang sedondon dengan kainnya, anda boleh gantikan kain berkenaan dengan seluar atau kain pelekat.

Ia pasti boleh menzahirkan satu gaya baharu yang unik. Perkara paling penting ialah perlu pastikan padanan itu tidak tampak canggung dari segi corak dan warna antara baju serta kain atau seluar berkenaan apabila dipadankan bersama.

2. Barangan kemas

Mempunyai aksesori diri seperti barangan kemas adalah bonus kepada anda untuk membentuk satu gaya baharu. Aksesori boleh menjadi titik fokal di dalam penggayaan.

Pastikan pakaian dipadankan tidak terlalu sarat dengan corak atau warna. Dalam kata lain, pastikan pakaian disarung ringkas.

Menyarungkan rantai, cincin, gelang dan anting-anting sedondon antara aksesori boleh menonjolkan titik fokal di dalam penggayaan. Jika anda hadiri majlis korporat misalnya, mengenakan aksesori serba mutiara adalah pilihan terbaik kerana ia boleh menonjolkan identiti kelas tersendiri di dalam penggayaan.

3. Hiasan rambut

Ketika ini ada banyak cara mendandan rambut supaya kelihatan lebih menarik dan menonjolkan diri anda.

Meskipun pakaian anda yang digayakan pernah disarungkan sebelum ini, tetapi penggayaan rambut baharu boleh menzahirkan satu identiti lain kepada seseorang.

Misalnya, sebelum ini di dalam acara lain anda hanya melepaskan rambut sahaja, apa kata anda mendandannya menjadi sanggul kemas dan pasti dapat mewujudkan satu titik fokal diri yang lain daripada gaya sebelum ini.

4. Gaya tudung

Wanita di Malaysia begitu terkenal sebagai golongan yang bijak di dalam menggayakan tudung dan sering diikuti wanita negara lain. Penggayaan tudung berbeza setiap kali menghadiri majlis berbeza boleh menonjolkan gaya baharu seseorang wanita.

Ketika ini begitu mudah mempelajari cara penggayaan tudung kerana ada banyak video dikongsi di media sosial untuk anda pelajari dan mempraktikkannya.

Kadang-kala penggayaan tudung yang unik dan kemas bersama busana pernah disarungkan sebelum ini boleh mengubah persepsi orang lain mengenai gaya baharu yang anda miliki.

5. Solekan

Wanita dan solekan adalah dua perkara yang sukar dipisahkan kerana ia boleh menambah lagi seri seseorang wanita. Ketika ini banyak gaya solekan yang dikongsikan di media sosial.

Tidak dinafikan mekap boleh mengubah gaya anda secara menyeluruh kerana wajah adalah pandangan pertama yang sering kali dilihat orang lain ketika berada di dalam sesuatu majlis.

Sekiranya anda sebelum ini hanya mekap secara ringkas sahaja, mungkin untuk mengubah penampilan diri yang baharu, anda boleh menambah gaya solekan yang sedikit menonjol dengan memberi penekanan kepada warna gincu atau pembayang mata.

Namun, pastikan anda bijak untuk bermain dengan warna mekap supaya ia tidak kelihatan canggung.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top