Pembentung hampir 40 tahun pecah punca jalan runtuh

Pembentung hampir 40 tahun pecah punca jalan runtuh

am@hmetro.com.my

Gua Musang: Pembentung yang berusia hampir 40 tahun pecah menjadi punca jalan di Kilometer (KM) 35, Jalan Gua Musang-Jeli runtuh pada November tahun lalu.

Akibat kejadian terbabit, jalan yang menjadi laluan utama ke Jeli ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan sehingga menyebabkan penduduk dan beberapa agensi bergotong-royong membina jalan lencongan sementara daripada kayu dan batu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) kini dalam usaha membina jalan baharu di laluan terbabit.

“Saya dimaklumkan sebelum membina jalan baharu beberapa faktor perlu diambil kira termasuk proses teknikal dan kajian pergerakan tanah supaya kejadian sama tidak berulang pada masa akan datang.

“Saya difahamkan juga pihak konsesi sekarang ini masih menunggu kelulusan pihak teknikal daripada segi reka bentuk jalan dan struktur tanah,” katanya ketika ditemui di lokasi terbabit.

“Sebelum ini kita bercadang untuk membina jambatan Bailey, tetapi pihak JKR memberi cadangan berlainan kerana keadaan di sini tidak sesuai untuk jambatan berkenaan.

“Keadaan di sini mempunyai banyak cerun dan pembetung lama berusia hampir 40 tahun yang menyebabkan runtuhan tanah.

“Pihak JKR mahu memastikan jalan baharu yang akan dibina selamat untuk kegunaan orang ramai kerana ia adalah laluan utama termasuklah kenderaan berat,” katanya.

Sebelum ini, media turut melaporkan lebih 3,000 penduduk di lapan buah kampung di sekitar mukim Jerek, Gua Musang terjejas apabila Jalan Gua Musang-Jeli yang menjadi penghubung utama mereka runtuh akibat mendapan dan tanah runtuh selepas berlaku hujan berterusan hujung bulan November tahun lalu.

Pada Jumaat lalu pula, jalan lencongan sementara di Kilometer 35, Jalan Gua Musang-Jeli di sini ditutup kepada semua kenderaan apabila berlaku kejadian runtuhan tanah sepanjang 30 meter susulan hujan lebat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top