hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jurujual alat ganti kenderaan ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam kereta selepas menghadiri parti sambutan hari jadi di pusat hiburan di Jalan Sultan Ismail, di sini, semalam.
Lelaki berusia 34 tahun itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan mulut berbuih dalam kereta yang diletakkan di kawasan parkir di premis berkenaan. Rakannya kemudian menghubungi polis untuk tindakan lanjut pada 8.41 pagi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya dimaklumkan lelaki berkenaan hadir ke pusat hiburan berkenaan untuk menghadiri sambutan hari jadi seorang kenalan.
Katanya, lelaki itu dikatakan menghisap rokok elektronik (vape) sebelum mengalami sesak nafas serta badannya juga terasa panas ketika berada di premis hiburan itu dan kemudian keluar dari premis berkenaan.
“Lelaki itu duduk dalam kereta dan menghidupkan penghawa dingin kenderaan untuk menghilang rasa panas (sejukkan badan).
“Lelaki itu kemudian ditemui tidak sedarkan diri dalam keadaan terbaring dan mulut berbuih,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Rusdi berkata, tiada sebarang kecederaan ditemukan pada mangsa dan setakat ini juga tiada unsur jenayah dikesan dalam kejadian berkenaan.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan bedah siasat sudah dijalankan malam tadi, namun keputusan masih belum ada kerana kita menunggu hasil ujian toksikologi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




