'Pandangan suami sayu, tak banyak cakap'

'Pandangan suami sayu, tak banyak cakap'

am@hmetro.com.my

Bagan Serai: “Pandangan matanya sayu, dan dia kurang bercakap seperti biasa…” Itu antara detik terakhir yang diingati seorang isteri sebelum suaminya maut dalam kemalangan tragik, apabila motosikal ditungganginya dirempuh Perodua Axia yang terbabas di Jalan Besar di pekan ini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, mangsa, Nor Akmal Fahami Awang, 40, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dirempuh kereta yang melintasi pembahagi jalan sebelum melanggar motosikal dinaiki mangsa di seberang jalan.

Insiden berkenaan tular di media sosial apabila rakaman video kemalangan itu dimuat naik orang awam yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

Rakaman itu menunjukkan sebuah Perodua Axia tiba-tiba membelok ke kanan, melanggar penghadang jalan sebelum terus merempuh motosikal mangsa dari arah bertentangan.

Isteri mangsa, Haslina Muin, 43, berkata, dia hanya mengetahui mengenai kemalangan itu selepas dihubungi rakan suaminya.

“Seorang rakan suami hubungi saya, dan dalam masa sama seorang lagi rakan datang ke rumah berjumpa ibu mentua. Saya sempat bertanya keadaan suami, tapi dia hanya suruh saya pergi tengok sendiri.”

“Saya mula rasa tak sedap hati dan terus ke Hospital Parit Buntar. Namun dalam perjalanan, saya diberitahu suami sudah tiada,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Parit Buntar.

Haslina berkata, arwah suaminya bekerja dengan syarikat penghantaran itu sejak hampir tiga tahun lalu.

“Pagi tadi, sebelum keluar kerja, dia sempat bergurau dan berkata nak cukur misai dan janggut.

“Tapi saya perasan dia kurang bercakap dan cara dia melambai pun lain macam, pandangannya sayu… itu rupanya kali terakhir saya bergurau dengannya,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Rubiah Mujir, 63, turut berkongsi rasa kehilangan dan menyatakan anak sulung daripada lima beradik itu menunjukkan kelakuan luar biasa sejak seminggu lalu.

“Biasanya sebelum ke tempat kerja, dia akan datang salam saya. Tapi minggu ini, saya pula yang cari dia untuk bersalaman. Lain benar kelakuannya,” katanya.

Rubiah turut berharap siasatan dijalankan secara telus dan keadilan ditegakkan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintendan Tan Bak Hua, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top