Ketua balai polis positif dadah dipindahkan ke Pulau Pinang

Ketua balai polis positif dadah dipindahkan ke Pulau Pinang

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketua balai polis yang ditahan kerana positif dadah ketika berhibur di pusat hiburan di Pandan Perdana pada Jumaat lalu akan dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pegawai berkenaan yang bertugas di sebuah balai polis di ibu negara sudah mendapat arahan pertukaran pada hari yang sama dia ditahan.

Menurutnya, pegawai berkenaan juga bakal dikenakan tindakan tatatertib oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

Katanya, pihaknya tidak akan sama sekali berkompromi dengan apa-apa salah laku jenayah kepada sesiapa saja di negara ini termasuk pegawai dan anggota pasukan polis tanpa mengira pangkat.

“Ada 17 orang keseluruhannya (ditahan) dan salah seorang itu adalah pegawai polis berkenaan yang positif (dadah).

“Seperti mana yang saya beritahu sebelum ini, tindakan tegas akan diambil. Tindakan (tatatertib) menyusul kerana ambil dadah dan positif (dadah) itu sudah menjadi kesalahan jenayah.

“Arahan pertukaran juga sudah keluar pada tarikh yang sama (pegawai ditahan) cuma lewat sedikit, beliau ditukarkan ke IPK Pulau Pinang,” katanya pada sidang media di IPK Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Rusdi berkata, siasatan akan dijalankan daripada setiap sudut dan sebagai anggota atau pegawai polis, mereka tidak boleh mengunjungi pusat hiburan.

“Berada di pusat hiburan tak boleh kecuali untuk tugas, itu ada arahan khusus dan untuk bekerja tetapi kalau kita bekerja, kita mesti mendapat kebenaran daripada ketua kita,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan, seorang ketua balai polis kantoi mengambil dadah ketika berhibur di pusat hiburan di Pandan Perdana, Ampang pada Jumaat lalu.

Saringan ujian air kencing mengesahkan terdapat ada empat jenis bahan terlarang dalam tubuh lelaki berusia 43 tahun itu.

Suspek ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman ketika berhibur dan dipercayai mengambil jus disyaki mengandungi dadah di pusat hiburan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top